Ahad, 25 Disember 2016

Melaka United sasar lima teratas Liga Super

SABTU, 24 DISEMBER 2016 @ 10:20 PM
 
MOHD Amri Yahyah (tiga dari kiri) mengangkat tiang gol bersama rakan sepasukan ketika menjalani latihan di Stadium Hang Tuah, selepas berhijrah dari pasukan Johor Darul Takzim (JDT) ke Melaka United (MU). - Foto BERNAMA
PETALING JAYA: Penyerang import berbisa Melaka United (MU), Ilija Spasojevic yakin skuad Sang Kancil mampu menamatkan saingan Liga Super musim depan dalam kedudukan lima teratas. Pemain berusia 29 tahun dari Montenegro yang mengakui saingan di liga utama Malaysia itu lebih kompetetif dan mencabar berkata, kehadiran jurulatih baharu, Eric Williams dan beberapa pemain berpengalaman dapat membantu juara Liga Perdana itu merealisasikan sasaran berkenaan.

"Untuk musim depan, kita mempunyai lebih banyak pemain baharu yang berkualiti dan berpengalaman, jadi sudah pasti kami boleh mencapai sasaran itu, namun perlukan sedikit masa untuk mendapatkan keserasian antara kami.

"Kita juga mendapat jurulatih baharu yang boleh berkomunikasi dalam bahasa Melayu dan saya sudah berlatih di bawah beliau untuk sebulan. Beliau juga mempunyai corak dan strategik yang berbeza berbanding jurulatih terdahulu Mat Zan Mat Aris," katanya.

Beliau yang fasih berbahasa Melayu berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) 2016 di sini. Pada majlis itu, Spasojevic yang lebih dikenali sebagai Spaso berjaya merangkul kasut emas sebagai penjaring terbanyak Liga Malaysia dan anugerah Penjaring Terbanyak Import (Liga Perdana) selepas meledak 24 gol sepanjang musim ini.

Beliau yang mempelajari Bahasa Melayu ketika bermain selama lima tahun di Indonesia, berkata Eric mempunyai perancangan untuk menukar taktikal perlawanan MU yang sebelum ini menggunakan format 4-2-3-1.

Spaso turut yakin kehadiran kapten pasukan kebangsaan, Mohd Amri Yahyah dan pemain import berasal dari Argentina, yang sebelum ini beraksi untuk kelab Tatabanya di Hungary, Sergio Aguero dapat memantap skuad itu untuk mengancam barisan pertahanan lawan.

Selain tiga penyerang itu, skuad Sang Kancil itu juga mempunyai Mohd Fauzi Roslan, Nurshamil Abd Ghani dan Izzaq Faris Ramlan yang boleh memberikan kelebihan kepada pasukan itu untuk mendapatkan kemenangan.

Melaka United dijangka mengadakan aksi persahabatan pramusim menentang Negeri Sembilan pada 29 Disember ini sebelum mengharungi Jelajah Kemboja sebagai persediaan untuk Liga Super yang bakal membuka tirai pada 21 Januari ini. - BERNAMA   DISYORKAN

Sumber-Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/226930

Aksi sulung Amri bersama MU

SABTU, 24 DISEMBER 2016 @ 11:07 AM
Oleh Nazri Abu Bakar bhsukan@bh.com.my
 
PENYERANG sensasi Melaka United (MU) Amri Yahyah. - Foto Osman Adnan MELAKA: Penyerang sensasi Melaka United (MU) Amri Yahyah bakal beraksi buat pertama kali untuk skuad terbabit berdepan PKNP FC pada aksi persahabatan pra musim di Stadium Hang Tuah petang ini. Jurulatih MU, Eric Willams berkata, pemain itu akan diberi peluang untuk penampilan pertamanya bersama pasukan berkenaan selepas menyertai skuad Hijau Putih Selasa lalu.

Menurut Williams, dia mungkin menurunkan Amri pada babak untuk bergandingan dengan Sergio Aguero dan Ilja Spasojevic bagi memantapkan persembahan pasukan, namun kesemuanya terletak kepada situasi terakhir menjelang perlawanan.

Kehadiran Amri dengan aksi terbaiknya amat penting dalam menyemarakkan sokongan peminat kepada pasukan berkenaan selain pastinya penyokong amat teruja untuk melihat dia beraksi. Williams juga bercadang menguji semua pemainnya bagi menilai prestasi dan kemampuan masing-masing berikutan terdapat pemain tidak diturunkan ketika aksi persahabatan pertama bertemu FELCRA FC di gelanggang sama sebelum ini.

 "Saya juga akan menggabungkan pemain dari kedua-dua babak perlawanan ketika berdepan FELCRA FC pada aksi persahabatan sebelum ini, di mana pada aksi terbabit saya menurunkan kesebelasan berbeza pada setiap 45 minit," kata Williams.

"Apa yang saya harapkan adalah pemain-pemain mampu menterjemahkan apa yang sudah direncana pada setiap sesi latihan. Malah saya berkeyakinan mereka mampu melakukan yang terbaik." Perlawanan berkenaan dilihat sebagai kesempatan terbaik buat Williams mengenalpasti kesebelasan utama menjelang saingan Liga Malaysia 2017.

Sumber-Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/226817

Melaka United mampu menyegat

 
SPASO (kanan) meledak 24 gol bersama Melaka United sepanjang musim ini.

PENYERANG import berbisa Melaka United, Ilija Spasojevic optimis skuad Sang Kancil itu mampu menamatkan saingan Liga Super musim depan dalam kelompok lima teratas.

Pemain berusia 29 tahun dari Montenegro yang mengakui ba­hawa saingan pada liga utama Malaysia itu lebih kompetitif dan mencabar berkata, kehadiran jurulatih baharu, Eric Williams dan beberapa pe­­main berpengalaman dapat membantu juara Liga Premier tersebut merealisasikan sasaran berkenaan.

“Bagi musim depan, kita mem­punyai ramai pemain baharu yang berkualiti dan berpengalaman, jadi sudah pasti kami boleh mencapai sasaran itu, namun memerlukan sedikit masa untuk mendapat­kan ke­serasian antara kami.

“Kita juga mendapat jurulatih baharu yang boleh berkomunikasi dalam bahasa Mela­yu dan saya sudah berlatih di bawah beliau untuk sebulan. Beliau juga mempunyai corak dan strategik yang berbeza berbanding jurulatih terdahulu, Mat Zan Mat Aris,” katanya.

Spasojevic yang lebih dikena­li sebagai Spaso serta fasih berbahasa Melayu masih segar dengan dua trofi yang diraih pada Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2016, Jumaat lalu.

Beliau merangkul Kasut Emas sebagai penjaring terba­nyak Liga Malaysia dan anugerah Penjaring Terbanyak Import (Liga Premier) selepas meledak 24 gol sepanjang musim ini.

Spaso yang mempelajari bahasa Melayu ketika bermain selama lima tahun di Indonesia berkata, Williams mempunyai perancangan untuk menukar taktikal perlawanan Melaka United yang sebelum ini menggunakan format 4-2-3-1.

Dia turut yakin bahawa kehadiran kapten pasukan kebangsaan, Mohd. Amri Yahyah dan pemain import berasal dari Argentina yang sebelum ini beraksi untuk kelab Tatabanya di Hungary, Sergio Aguero dapat memantapkan skuad itu untuk mengancam barisan pertahanan lawan.

Selain tiga penyerang tersebut, skuad Sang Kancil juga mempunyai Mohd. Fauzi Roslan, Nurshamil Abd. Ghani dan Izzaq Faris Ramlan yang boleh memberikan kelebihan kepada pasukan itu untuk mendapatkan kemenangan.

Melaka United dijangka me­ngadakan aksi persahabatan pramusim menentang Negeri Sembilan pada 29 Disember ini.

Selepas itu, mereka akan mengharungi Jelajah Kemboja sebagai persediaan untuk Liga Super yang bakal membuka tirai pada 21 Januari. – Bernama

SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=1226&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4TtSrCAfQ Hakcipta terpelihara

Sabtu, 24 Disember 2016

Melaka kekal tangga teratas

ARKIB : 03/06/2000
MELAKA berjaya mengekalkan kedudukan di tangga teratas apabila menumpaskan KL Malay Mail 4-0 pada perlawanan bola sepak Liga Perdana Dua di Stadium Kubu, semalam.

Pasukan pelawat memulakan asakan di awal permainan, Melaka berjaya meraih gol pertama apabila pergerakan K. Rajan secara solo membuahkan hasil pada minit ke-31.

Pasukan Hang Tuah menambah gol kedua lapan minit kemudian menerusi rembatan Shaiful Bahri Shahrum yang menumpaskan penjaga gol lawan, M. Pavalamani setelah menerima hantaran Amrie Abdullah.

Derita pasukan pelawat semakin parah apabila kesilapan yang dilakukan oleh benteng pertahanan lawan membolehkan M. Rizalruddin A. Ghani menjaringkan gol ketiga pada minit ke-41.

Melaka terus melebarkan jaringan setelah pemain gantian pada separuh masa kedua, Sri Jaafar Rahman menyumbangkan gol keempat pada minit ke-78, berikutan kesilapan yang dilakukan oleh penjaga gol KL Malay Mail.

Kedah turut bermain cemerlang di gelanggang sendiri dengan menewaskan Kelantan 3-1 di Stadium Darul Aman, Alor Setar.

Tiga mata semalam penting dalam usaha mengatasi Melaka yang sekarang mendahului Perdana Dua.

Pada minit ke-23, Cik Zambil Ahmad memberi gol semangat hasil sepakan leret di sebelah kanan pintu gol Kelantan. Beliau berjaya merampas bola dari kecuaian pemain Kelantan dan seterusnya melakukan sepakan yang gagal diselamatkan penjaga gol, Mohd Shahrizan Ismail.

Kelantan mendapat gol penyamaan pada minit ke-62 melalui sepakan Anuar Abu Bakar. Anuar yang tidak dikawal mendapat bola hasil sepakan sudut dan beliau yang berada hanya beberapa meter dari pintu gol dengan mudah menyepak masuk.

Cik Zambil menjadi wira Kedah apabila menjaringkan gol keduanya pada minit ke-77, hasil usaha beliau yang mendapat bola dari luar kotak penalti dan kemudian membawanya ke depan pintu gol dan dengan mudah menewaskan penjaga gol lawan untuk menyepak bola ke gawang.

Kemudian sepakan kencang Mohd Khamal Idris Ali pada minit ke-87, mendatangkan gol ketiga Kedah.

Di Johor Bahru, Johor FC dan TNB Kelantan seri 1-1 dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Pasir Gudang.

TNB Kelantan mendahului 1-0 pada minit ke-73 menerusi jaringan Zainuddin Ariffin. Bagaimanapun Sheikh Ahmad Redzuan menyamakan kedudukan pada minit terakhir.

JKR Kelantan pula menewaskan Tentera 2-0 dalam perlawanan di Stadium Sultan Mohamed Ke-IV, Kota Bharu.

Gol pasukan tuan rumah dijaringkan oleh Che Hishamuddin Hassan pada minit ke-56 dan Adnan Musa pada minit ke-82.

Dalam satu lagi perlawanan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, NS Chempaka dan Telekom Melaka seri 1-1.

Gol NS Chempaka dijaringkan oleh A. Ravichandran pada minit ke-55 sementara Telekom Melaka memperoleh gol penyamaan menerusi Wirat Nom seminit sebelum tamat permainan

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0603&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4TkHPmqX0 © Utusan Melayu (M) Bhd

Khamis, 22 Disember 2016

MU beri ruang Gopinathan bincang perpindahan PEMAIN Selangor, R Gopinathan.

SELASA, 13 DISEMBER 2016 @ 9:06 PM
 
 - Foto Hasriyasyah Sabudin MELAKA: Pemain sayap, R Gopinathan perlu mendapat pelepasan dari Selangor seandainya mahu menyertai skuad Melaka United musim depan kerana masih mempunyai kontrak dengan pasukan itu. Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA), Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata mereka memberi ruang kepada pemain berusia 27 itu berbincang dengan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) kerana tidak mahu dituduh 'mencuri pemain'.

 Menurutnya, Melaka United menawarkan tempat kepada Gopinathan kerana ada penaja yang mahu membawa pemain berkenaan ke Melaka United bagi mengharungi saingan Liga Super musim depan. "Ada penaja mahu membantu menampung sebahagian gajinya kerana awal-awal lagi kami telah katakan Melaka United tidak mampu berbelanja besar dan perlu mengurus wang dengan berhemah.

"Bagaimanapun, kita beri masa dan biarkan Gopi (Gopinathan) selesaikan dengan pasukannya (Selangor) mengenai kontrak itu," katanya yang juga pengurus pasukan Melaka United kepada pemberita di sini, hari ini. Mengulas status perpindahan kapten pasukan Harimau Malaysia, Mohd Amri Yahyah ke Melaka United, Mohd Yusoff berkata secara dasarnya bekas pemain Johor Darul Ta'zim berusia 35 tahun itu bersetuju menyertai skuad Melaka.

 "Perpindahan itu dijangka dimuktamadkan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Idris yang juga Presiden MUSA, malam ini. "Amri telah menyatakan kesediaannya bersama Melaka United dan kami akan memberi taklimat kepada presiden mengenai hal ini sebelum perjanjian ditandatangani," katanya. - BERNAMA


Sumber-Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/223496

Amri Yahyah bukan `kuda tua'

KAPTEN pasukan, Amri Yahyah. - Foto Osman Adnan MELAKA: Melaka United tidak melihat Mohd Amri Yahyah sebagai 'kuda tua' sebaliknya ibarat 'kuda gagah berani' kerana mampu mengekalkan prestasi mantap di sebalik usianya semakin meningkat. Pengurus pasukan Melaka United, Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata di sebalik usia 35 tahun, kapten Harimau Malaysia itu mempunyai prestasi yang lebih baik daripada ramai pemain muda lain.

Katanya, dia akan memberi sengat kepada jentera serangan pasukan itu untuk bersaing dalam Liga Super musim depan. "Selain itu, kehadiran Amri juga akan memanfaatkan usaha Melaka United membangunkan pemain muda, yang mana pemain muda kami akan dapat menimba ilmu daripada pengalaman luas beliau.

"Melaka United mengalu-alukan kedatangan beliau kerana kami baru naik ke Liga Super. Oleh itu kedatangan beliau akan banyak membantu Melaka United," katanya menerusi kenyataan di sini hari ini. Semalam sebuah akhbar tabloid melaporkan Melaka United bakal menjadi destinasi untuk 'kuda tua', yang merujuk kepada Mohd Amri, bagi saingan musim depan.

Dilaporkan sebelum ini kedua-dua pihak, iaitu Melaka United dan Mohd Amri, telah mencapai kata sepakat untuk bekas penyerang Johor Darul Ta'zim itu menyertai skuad Sang Kancil dan difahamkan sumber-Mohd Amri akan menandatangani kontrak esok. - BERNAMA


Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/224144

Selasa, 20 Disember 2016

Melaka United bentuk kombinasi trio serangan berbisa

18 Disember 2016 12:54 PM
Bentuk trio serangan berbisa
Bentuk trio serangan berbisa
TIMBALAN PRESIDEN Melaka United, Datuk Mohd. Yusoff Mahadi; Presiden Melaka United dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ir. Idris Haron; Mohd. Amri Yahyah dan penaja utama, Ketua Pegawai Eksekutif Mamee Double Decker, Tan Sri Pang Tee Chew bergambar selepas sidang akhbar majlis menandatangani kontrak Amri Yahyah bersama Melaka United di Hotel Sama Sama, KLIA kelmarin. - UTUSAN ONLINE/AMIR KHALID
MELAKA 18 Dis. - Melaka United sedang membentuk tiga penyerang iaitu Ilija Spasojevic, Mohd. Amri Yahyah dan Sergio Aguero sebagai jentera serangan berbisa mereka dalam kempen Liga Super musim depan.
Ketua jurulatih Melaka United, Eric Williams berkata, beliau telah pun menggariskan perancangan untuk trio itu, berkisar mengenai serangan serta kedudukan nombor 10, dan akan melaksanakannya selepas mereka menjalani latihan bersama-sama.
"Apa yang saya harapkan ialah untuk membina kombinasi yang sempurna antara ketiga-tiga mereka dan saya juga amat berharap mereka boleh bermain dalam kedudukan yang berbeza. Saya juga sedang mencari pemain nombor 10 sebagai penyerang kedua.
"Tetapi pada masa ini, saya hanya mempunyai rancangan, mereka masih lagi belum bermain bersama-sama. Kita akan lihat bagaimana keadaannya," katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan persahabatan yang menyaksikan Melaka United menewaskan Felcra FC, 2-0, semalam.
Kapten Melaka United, Spasojevic atau lebih dikenali sebagai 'Spaso' dari Montenegro adalah penjaring terbanyak Liga Perdana dengan 24 gol, membolehkan skuad Hang Tuah merangkul gelaran juara Liga Perdana 2016.
Mohd. Amri yang juga Kapten Harimau Malaysia, yang sebelum ini mewakili Johor Darul Ta'zim merupakan pemain baharu skuad Sang Kancil begitu juga Aguero dari Argentina, yang sebelum ini bermain untuk Kelab FC Tatabanya, Hungary.
Spasojevic telah menjalani latihan dengan pasukan Hang Tuah, Mohd. Amri akan melaporkan diri untuk sesi latihan pada Selasa ini manakala Aguero masih dalam kecederaan.
Ditanya tentang strateginya untuk pasukan itu, Williams berkata, beliau akan menggunakan kaedah hantaran bola pendek dan 'through pass', berbanding hantaran bola tinggi yang sering dipraktikkan pemain negara dan kelab di Malaysia.
"Saya mahu mengubah gaya permainan mereka tetapi malangnya jika pemain gagal mengawal bola dan menempatkan diri mereka di kedudukan yang betul, strategi itu adalah sia-sia, kita perlu membina kekuatan pemain.
"Kami telah jalani latihan hantaran bola, gaya lolos dan menempatkan kedudukan (pemain)... Saya mahu melihatnya di atas padang tetapi malam ini tidak banyak yang dapat saya lihat, mungkin tiga atau empat hantaran yang cantik dan kami kehilangan bola," katanya.
Warga Inggeris yang juga pemegang pasport Australia itu berkata, kecergasan satu lagi aspek penting dan beliau sedang berusaha untuk memperbaikinya dan ia sangat-sangat diperlukan untuk sesuaikan dengan gaya permainan yang dirangkanya.
"Pemain tidak akan bermain melainkan jika mereka cergas, saya faham masih terlalu awal tetapi pemain tidak cukup cergas untuk bermain selama 30 minit apatah lagi 45 minit. Jika mereka tidak cukup cergas bagaimana mereka mahu mendapatkan bola. Jadi saya sedikit kecewa tetapi ia adalah sesuatu yang perlu kami atasi," katanya.
Sementara itu, beliau berkata, seperti kelab bola sepak lain di dunia, penyokong adalah aspek paling penting bagi sesebuah kelab bola sepak yang hebat dan beliau berharap penyokong Melaka United akan terus bersama-sama skuad itu semasa susah dan senang. - BERNAMA

sumber- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/melaka-united-bentuk-kombinasi-trio-serangan-berbisa-1.421270#sthash.dTU5agSU.dpuf

Isnin, 19 Disember 2016

Amri Yahya sah bersama dengan Melaka United

17 DISEMBER 2016
 Amri Yahya sah bersama dengan Melaka United
Amri Yahya sah bersama dengan Melaka United Presiden Melaka United yang juga Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron (kiri) bergambar bersama Pemain Baharu Bolasepak Melaka United Mohd Amri Yahya (tengah) selepas menandatangani kontrak Melaka United (MU) bersama Kapten Skuad Kebangsaan tersebut semalam. - Foto Bernama
PENYERANG kebangsaan Mohd Amri Yahyah mengikat kontrak setahun bersama Juara Liga Perdana, Melaka United, bagi memantapkan pasukan itu dalam menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim hadapan.   

Amri, 35, yang dilepaskan oleh pasukan lamanya, Johor Darul Ta'zim (JDT) dilihat sebagai sandaran untuk membantu pasukan barunya itu mencapai kejayaan terutama apabila pasukan itu akan beraksi dalam saingan Liga Super musim depan.    

Pemain itu mengakui tawaran yang diberikan kepadanya sukar untuk ditolak walaupun jauh disudut hatinya ingin kembali menabur bakti ke negeri kelahirannya, Selangor.    

"Sebenarnya selepas tamat kontrak bersama JDT, saya menantikan tawaran daripada Selangor tetapi selepas Melaka datang memberikan tawaran, saya tidak menunggu lama untuk membuat keputusan.   

Secara peribadi saya percaya ini adalah pilihan tepat kerana Melaka merupakan pasukan yang dahagakan kejayaan dan mereka sudah membuktikan kecemerlangannya sejak dua musim lalu," katanya selepas mendatangani kontrak secara rasmi bersama pasukan MU di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron yang juga Presiden Melaka United hadir bagi menyaksikan majlis menandatangani kontrak itu yang berlangsung di sebuah hotel di sini.   

Beliau menegaskan walaupun Amri digelar 'Kuda Tua' oleh sesetengah pihak namun ia tidak menjejaskan keyakinan MU terhadap kebolehan pemain itu.   

"Dia merupakan pemain yang berkualiti selain pengalaman luas di dalam bola sepak dan agak sukar buat kami untuk tidak mengemukakan tawaran kepadanya.   

Peluang mendapatkan khidmatnya adalah sesuatu yang sukar ditolak dan saya percaya dia merupakan pemain yang memiliki keupayaan setara dengan pemain muda berdasarkan kepada kekuatan mental yang dimilikinya," katanya.   

Sepanjang kariernya, Amri sudah menjulang pelbagai trofi kejuaraan termasuk Piala AFC, selain tiga kejuaraan Liga Super berturut-turut dan Piala FA bersama JDT. - Bernama

SUMBER- SINAR HARIAN ONLINE  17 DISEMBER 2016

Khamis, 15 Disember 2016

Melaka senaraikan 12 muka baru

ARKIB : 25/02/2000
PASUKAN Melaka melakukan rombakan besar-besaran apabila 12 daripada 22 pemain yang disenaraikan merupakan muka baru yang pertama kali mewakili pasukan itu pada Liga Perdana Dua musim ini.

AMIRUDDIN HARUN melaporkan, gandingan pemain lama dan baru itu dijangka dapat memberikan wajah baru kepada pasukan itu yang meletakkan sasaran untuk layak ke Liga Perdana Satu musim depan.

Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka (MAFA), Md. Yunos Husin berkata, pengekalan 10 pemain lama dan 12 pemain baru itu dijangka menghasilkan kombinasi yang mantap dan mampu menyengat kali ini.

''Berdasarkan perlawanan persahabatan dan latihan-latihan yang dijalankan, kita lihat prestasi pemain baru dan lama ini membanggakan. Kita yakin mereka dapat memberikan persembahan yang baik pada musim ini,'' katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis menandatangani kontrak antara 22 pemain terbabit kecuali Rezal Zambery Yahya dengan MAFA di pejabat MAFA, semalam.

Muka-muka baru pasukan itu pada musim ini ialah Ahmad Tarmizi Saiban, Rezal Zambery Yahya, Mohd. Ariffadillah Nordin, Khairul Anuar Jamil, Shahril Nizam Ahmad, Mohd. Shahril Nizam Khalil, Yusnizam Yusof, Rahim Salam, S. Arumugam, Shaiful Bahri Shaharum, Mohd. Ayob Alias dan Amrie Abdullah.

Manakala pemain lama yang dikekalkan ialah Zainal Rabin, Ariffin Yunus, S. Mili Samion, Musa Talib, Khairul Nazri Salman, Rashid Mamud, K. Rajan, A. Karim A. Rahman, V. Sivam dan Sri Jaafar Rahman.

Empat pemain yang sebelum ini diberi amaran untuk memperbaiki prestasi masing-masing iaitu Mohd. Hanif Omar, Raja Azlan Raja Yahya, Azmie Lokman dan pemain senior Mohd. Rahudin Kamsani seperti yang dijangka tidak disenaraikan musim ini.

Menurut Md. Yunos, pemain-pemain ini walaupun muka baru, tetapi mempunyai pengalaman mewakili negeri lain seperti Johor, Perak, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Pahang pada musim-musim lalu.

''Mereka juga masih muda iaitu antara 18 hingga 23 tahun dalam usaha kita menyuntik tenaga baru di kalangan pemain negeri,'' katanya.

Tambah beliau, untuk memantapkan kombinasi pemain, pasukan Melaka akan terus membuat persiapan dengan meneruskan siri-siri perlawanan dengan pasukan luar.

Sementara itu, Jurulatih pasukan, Ramli Junit berkata, pihaknya belum pasti senarai kesebelasan pemain utama pasukan bimbingannya itu.

''Latihan masih giat dijalankan dan kita sedang membuat penyesuaian sebelum mengenal pasti senarai pemain utama pasukan,'' ujarnya.

Beliau bagaimanapun mengakui masih terdapat banyak kelemahan di kalangan pemain terbabit.

Begitupun, katanya, beliau yakin mampu mengatasi kelemahan-kelemahan tersebut dalam tempoh sebulan ini sebelum Liga Malaysia bermula.

Itupun, katanya, kalau pemain tekun mengikuti sesi latihan dan mendengar nasihat serta tunjuk ajar yang diberikan semasa di padang.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0225&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4SxKaJi8k © Utusan Melayu (M) Bhd

Selasa, 13 Disember 2016

Remeli dilantik jurulatih skuad Melaka

ARKIB : 28/12/1999
TEKA-TEKI mengenai penyandang jawatan ketua jurulatih pasukan bola sepak Liga Perdana Melaka musim depan terjawab apabila bekas pemain kebangsaan, Remeli Junit dilantik menggantikan G. Torairaju, lapor AMIRUDDIN HARUN.

Pengumuman mengenai pelantikan itu dibuat oleh Yang Dipertua Persatuan Bola Sepak Melaka (MAFA), Datuk Ibrahim Durum, sejurus sebelum beliau berlepas ke Mekah untuk menunaikan umrah pada Ahad lalu.

Menurut Setiausaha Kehormat MAFA, Hahi Salleh, selain dilantik sebagai ketua jurulatih bagi pasukan Liga Perdana Melaka, Remeli juga akan memimpin pasukan Piala FA negeri tahun depan.

Berikutan pelantikan itu, katanya, Remeli akan melepaskan jawatannya sebagai Ketua Jurulatih Piala Presiden dan Sukan Malaysia (Sukma) 2000 yang baru disandangnya.

''Surat pelantikan Remeli sebagai ketua jurulatih Liga Perdana Melaka musim depan akan dikeluarkan secepat mungkin,'' katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Melaka, semalam.

Remeli, 44, pernah menyarung jersi pasukan kebangsaan selama tiga tahun berturut-turut sejak tahun 1977 hingga 1980. Dalam masa yang sama, beliau menyertai pasukan Selangor dalam kempen Piala Malaysia.

Pada tahun 1980, beliau berpindah pula untuk mewakili pasukan Melaka dalam kempen Piala Malaysia sehingga tahun 1989.

Remeli sebelum ini pernah menjadi jurulatih bagi pasukan Melaka pada Liga Perdana tahun 1996. Beliau juga merupakan bekas jurulatih pasukan Piala Presiden bagi tahun 1995 hingga 1998 dan Sukma VII pada tahun 1998.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=1228&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_06.htm#ixzz4SnMcXtZx © Utusan Melayu (M) Bhd

Ahad, 11 Disember 2016

Nasib Torairaju akan ditentukan dua minggu lagi

ARKIB : 30/10/1999
PERSATUAN Bola Sepak Melaka (MAFA) akan mengadakan mesyuarat dalam tempoh dua minggu lagi bagi menentukan sama ada mengekalkan khidmat jurulatih G. Torairaju atau sebaliknya bagi membimbing pasukan Liga Perdana negeri pada musim depan.

Setiausaha Kehormat MAFA, Hahi Salleh berkata, setakat ini persatuan ada menerima beberapa permohonan untuk menjadi jurulatih pasukan tersebut musim hadapan.

''Bagaimanapun MAFA perlu mengkaji dengan teliti terlebih dahulu sebelum mengambil keputusan muktamad dalam hal ini,'' katanya di Melaka, semalam.

Dalam Liga Perdana musim ini, anak buah Torairaju hampir melayakkan diri ke Piala Malaysia tetapi hajat tersebut tidak kesampaian apabila tumpas dalam pusingan kelayakan Piala Malaysia.

Sementara itu, Presiden MAFA, Datuk Ibrahim Durum memberitahu, Melaka yang kekal dalam divisyen dua musim depan sedang berusaha mengenal pasti tiga pemain yang mampu memperkuatkan lagi barisan pertahanan pasukan itu.

Ibrahim juga memberitahu, kelemahan yang dikenal pasti terhadap barisan pemain sedia ada adalah dari segi pertahanan pasukan dan kurangnya pengalaman ketika bermain di gelanggang lawan.

''Banyak pemain tidak dapat menyesuaikan diri dengan baik di gelanggang lawan berbanding perlawanan di gelanggang sendiri,'' katanya yang kekal sebagai pengurus pasukan musim depan.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=1030&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_06.htm#ixzz4SXYKyjNP © Utusan Melayu (M) Bhd

Isnin, 5 Disember 2016

Melaka pinjam pemain Telekom, N.S. Chempaka

ARKIB : 30/06/1999
SETELAH gagal menempah tempat ke Piala Malaysia menerusi pertandingan liga, Melaka mahu mengharungi perlawanan kelayakan itu dengan barisan pemain baru.

Pengurus pasukan Datuk Ibrahim Durum berkata sembilan pemain utama akan digugurkan dan digantikan dengan pemain baru untuk perlawanan kelayakan, Ogos depan.

Keputusan itu terpaksa dibuat kerana prestasi pemain yang disingkirkan tidak memuaskan.

''Kita tidak yakin Melaka boleh meneruskan cabaran merebut tempat ke pertandingan Piala Malaysia dengan barisan pemain yang ada,'' kata beliau.

Kekosongan itu akan diisi dengan beberapa pemain yang akan dipinjam daripada pasukan Telekom Melaka dan N.S. Chempaka, dua pasukan liga Perdana Dua yang telah mengakhiri cabaran mereka.

''Pemain yang ditawarkan tempat sudah bersetuju dan rundingan sedang dijalankan dengan majikan masing-masing,'' kata beliau.

Antara dua pemain utama Telekom Melaka yang dipercayai bakal membantu Melaka ialah ketua pasukan, Rosli Hashim dan pemain tengah R. Sekar.

Ibrahim berkata selain pemain yang dipinjam, tiga lagi pemain baru telah ditawarkan kontrak singkat.

''Jika prestasi mereka memuaskan, kontrak mereka akan disambung musim depan,'' kata beliau. - Bernama.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0630&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_07.htm#ixzz4RyjQEhNe © Utusan Melayu (M) Bhd

Rabu, 30 November 2016

Pertahanan Melaka masih goyah

ARKIB : 12/04/1999
MESKIPUN menunjukkan aksi yang membanggakan ketika menumpaskan Kelantan, 2-0, Jumaat lalu, Melaka masih memerlukan sekurang-kurangnya dua pemain pertahanan dan dua pemain tengah untuk memantapkan lagi pasukan itu.

Jurulatih Melaka, G. Torairaju berkata, pemain di kedua-dua bahagian itu diperlukan bagi menggantikan pemain-pemain sedia ada sekiranya dilanda masalah kecederaan.

''Misalnya, pemain tengah, Musa Talib yang menunjukkan aksi yang agak bagus pada musim ini perlu digantikan sekiranya mengalami kecederaan,'' katanya semalam.

Beliau berkata, begitu juga di bahagian pertahanan, dua lagi pemain diperlukan supaya dapat mengemaskan lagi jentera di bahagian itu yang setakat ini dibolosi oleh 12 gol.

Baru-baru ini pengurus pasukan, Datuk Ibrahim Durum menyatakan pasukan itu akan membuat rombakan dengan mengambil tiga pemain pertahanan berpengalaman.

Setakat ini dua daripada pemain itu, seorang anak tempatan dan seorang dari Kuala Lumpur sudah dikenalpasti.

Torairaju berkata, setakat ini sejumlah 21 pemain telah mengikat kontrak dengan pasukan Melaka musim ini dan mempunyai empat lagi kekosongan.

''Kita berharap dapat mengisi kekosongan ini supaya skuad muda ini dapat menandingi kehebatan pasukan lain,'' katanya.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0412&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4RU94956F © Utusan Melayu (M) Bhd

Selasa, 29 November 2016

Melaka kalah kepada Selangor 6-1 -- Pemain tergamam - Torai

ARKIB : 28/03/1999
KEKURANGAN pengalaman dan perasaan gementar di kalangan barisan pemain muda Melaka merupakan punca utama pasukan itu dibelasah Selangor 6-1 dalam perlawanan bola sepak Liga Perdana Dua di Stadium Shah Alam, kelmarin.

Jurulatih Melaka, G. Torairaju berkata, kebanyakan pemain juga kurang keyakinan diri apabila berhadapan dengan lawan meskipun mereka bersemangat tinggi.

Katanya, barisan pemain yang diturunkan itu merupakan muka baru musim ini dan cuma dua pemain dianggap berpengalaman _ S. Mili Sameon dan penjaga gol, A. Zainal Rabin.

''Itupun S. Mili terpaksa diganti oleh Amar Razik Ramli dan A. Zainal hanya mempunyai pengalaman dua tahun dalam Liga Perdana,'' katanya semalam.

Melaka sebelum ini mendahului kedudukan liga setelah mengumpul enam mata dengan menewaskan Telekom Melaka 4-0 dan Perlis 4-2.

Torairaju bagaimanapun tidak menyalahkan anak buahnya seratus peratus kerana menganggap mereka mungkin tergamam dalam pertemuan sulung dengan lawan yang dianggap terhandal itu.

Namun ujarnya, pemain Melaka masih menunjukkan aksi yang baik dan penuh bersemangat bagi setengah jam pertama perlawanan malah tidak gelisah sekalipun ketinggalan 0-1 pada minit ke-37.

''Melaka mula kucar-kacir apabila Selangor mendapat gol kedua dan Hussein Maidin menambah derita pasukan Melaka dengan menjaringkan gol sendiri,'' katanya.

Sebagai jurulatih, Torairaju masih mampu menerima hakikat kekalahan itu sekalipun terkilan kerana kalah dengan jumlah yang besar.

''Kita tidak putus asa. Liga ini masih terlalu awal dan ada baki 15 perlawanan lagi untuk Melaka. Ini pengajaran buat pemain,'' katanya lagi.

Torairaju juga akan berbincang dengan penolongnya, Ali Bakar bagi mengubah posisi beberapa pemain untuk memantapkan pasukan

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0328&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4ROiV4Mik © Utusan Melayu (M) Bhd

Ahad, 25 September 2016

Melaka United dari zero ke hero!



Wartawan Sinar Harian
17 September 2016
 Melaka United dari zero ke hero!
Melaka United dari zero ke hero!      
Keputusan seri 1-1 sudah memadai buat Melaka United muncul juara Liga Perdana.

SIAPA sangka, negeri yang sering diejek-ejek tidak memiliki pasukan bola sepak sendiri secara tiba-tiba mengalami peningkatan mendadak sejak dua tahun lalu.

Melaka United, satu nama yang dahulunya suram kini berubah wajah apabila baru-baru ini mengesahkan kejuaraan Liga Perdana dengan berbaki dua perlawanan.

Tambah menarik lagi, mereka hanya perlukan semusim sahaja di Liga Perdana untuk menempah tempat ke saingan Liga Super musim hadapan setelah dipromosikan daripada Liga FAM tahun lalu.

Pujian wajar diberikan kepada seluruh tenaga kerja Melaka United daripada pihak pengurusan, jurulatih hinggalah barisan pemain yang berusaha mengembalikan maruah bola sepak negeri Melaka dari terus menjadi bahan ejekan.

REALISASI MATLAMAT

SETELAH dinaikkan daripada Liga FAM ke Liga Perdana, pihak pengurusan Melaka United nyata tidak mahu lagi menoleh ke belakang.

Sejumlah RM11 juta telah diperuntukkan oleh pihak pengurusan untuk memperkasakan pasukan itu dengan membawa masuk pemain tempatan dan import berkualiti untuk Melaka United.

Ternyata pertaruhan membawa masuk nama-nama seperti Ilija Spasojevic, Labinot Harbuzi, See Kok Luen, Khair Jones dan R Surendran di awal musim terbalas apabila pasukan ini tidak tewas dalam sembilan perlawanan pertama mereka.

Namun, rekod ini sedikit tercalar apabila mereka tewas tipis 0-1 di tangan Perlis di laman lawan ketika beraksi di dalam cuaca panas di waktu petang.

Nyata kekalahan pertama itu tidak merobek semangat Sang Kancil. Melaka United kembali bangkit dengan mencatat sembilan kemenangan berturut-turut yang mana, rekod kemenangan berterusan ini baru sahaja dipatahkan JDT II dengan gol penyamaan minit-minit akhir minggu lalu.

Melihat kepada rekod cemerlang yang dipamerkan, tidak hairanlah peminat bola sepak tempatan menggelar musim ini sebagai 'kuasa Selatan' apabila kedua-dua pasukan selatan tanah air (JDT dan Melaka United) telah mengesahkan kejuaraan untuk Liga Super dan Liga Perdana.

KAPTEN SPASO

SELAIN pihak pengurusan dan jurulatih, Mat Zan Mat Aris yang telah menaikkan semula nama Melaka United, ada satu lagi watak yang kini menjadi bualan ramai.

Ilija Spasojevic atau lebih dikenali dengan gelaran Spasogoal menjadi watak penting kepada kebangkitan Melaka United era ini.

Penyerang 28 tahun kelahiran Yugoslavia ini bukan sahaja menggalas tanggungjawab sebagai kapten untuk Melaka United, bahkan dia jugalah yang menjadi tunjang dalam hampir setiap kemenangan Melaka United musim ini.

Mana tidaknya, daripada 18 penampilannya bersama MU, dia telah menjaringkan 23 gol, sekali gus mencatatkan nama selaku penjaring terbanyak Liga Perdana setakat ini.

Tidak hairanlah, sudah banyak pasukan mula mengintai peluang untuk mencuri penyerang import berbisa ini musim depan.

GANJARAN

SETELAH diangkat menjadi juara Liga Perdana, imbuhan istimewa bakal menanti dalam kalangan pemain Melaka United.

Antara ganjaran yang telah diumumkan ialah pakej menunaikan umrah dan lawatan ke Old Trafford bagi menyaksikan perlawanan Manchester United pada November depan.

Malah, dikhabarkan akan ada ganjaran lain bakal menanti pemain dan pihak pengurusan Melaka United yang akan diumumkan sendiri oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron sekembalinya beliau daripada menunaikan haji nanti.

BAWA SEMANGAT

JELASLAH, usaha berterusan dan kerja keras dari semua pihak untuk menaikkan nama Melaka United benar-benar merealisasikan matlamat asal mereka.

Selain pemain dan pihak pengurusan yang bertungkus-lumus bekerja keras, tidak dilupa juga buat penyokong Hijau Putih yang terus-menerus memberikan sokongan kepada MU sejak dari beraksi di liga FAM hinggalah ke Liga Perdana dan seterusnya Liga Super musim depan.

Semoga peningkatan ke satu tahap lagi akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh Melaka United untuk membawa semangat kemenangan ini dengan mendominasi saingan Liga Super 2017.

Adalah diharapkan supaya satu lagi kejuaraan liga dapat digenggam Melaka United setelah kejayaan membawa pulang trofi Liga FAM dan Liga Perdana dalam tempoh dua tahun berturut-turut.

Apa pun, syabas dan tahniah Melaka United!

"Gegau Melaka Gegau!
SUMBER-SINAR HARIAN ONLINE 17 September 2016