18 Disember 2016 12:54 PM
Bentuk trio serangan berbisa
TIMBALAN PRESIDEN Melaka
United, Datuk Mohd. Yusoff Mahadi; Presiden Melaka United dan Ketua Menteri
Melaka, Datuk Seri Utama Ir. Idris Haron; Mohd. Amri Yahyah dan penaja utama,
Ketua Pegawai Eksekutif Mamee Double Decker, Tan Sri Pang Tee Chew bergambar
selepas sidang akhbar majlis menandatangani kontrak Amri Yahyah bersama Melaka
United di Hotel Sama Sama, KLIA kelmarin. - UTUSAN ONLINE/AMIR KHALID
MELAKA 18 Dis. - Melaka United
sedang membentuk tiga penyerang iaitu Ilija Spasojevic, Mohd. Amri Yahyah dan
Sergio Aguero sebagai jentera serangan berbisa mereka dalam kempen Liga Super
musim depan.
Ketua jurulatih Melaka United,
Eric Williams berkata, beliau telah pun menggariskan perancangan untuk trio
itu, berkisar mengenai serangan serta kedudukan nombor 10, dan akan
melaksanakannya selepas mereka menjalani latihan bersama-sama.
"Apa yang saya harapkan
ialah untuk membina kombinasi yang sempurna antara ketiga-tiga mereka dan saya
juga amat berharap mereka boleh bermain dalam kedudukan yang berbeza. Saya juga
sedang mencari pemain nombor 10 sebagai penyerang kedua.
"Tetapi pada masa ini,
saya hanya mempunyai rancangan, mereka masih lagi belum bermain bersama-sama.
Kita akan lihat bagaimana keadaannya," katanya kepada pemberita selepas
tamat perlawanan persahabatan yang menyaksikan Melaka United menewaskan Felcra
FC, 2-0, semalam.
Kapten Melaka United,
Spasojevic atau lebih dikenali sebagai 'Spaso' dari Montenegro adalah penjaring
terbanyak Liga Perdana dengan 24 gol, membolehkan skuad Hang Tuah merangkul
gelaran juara Liga Perdana 2016.
Mohd. Amri yang juga Kapten
Harimau Malaysia, yang sebelum ini mewakili Johor Darul Ta'zim merupakan pemain
baharu skuad Sang Kancil begitu juga Aguero dari Argentina, yang sebelum ini
bermain untuk Kelab FC Tatabanya, Hungary.
Spasojevic telah menjalani
latihan dengan pasukan Hang Tuah, Mohd. Amri akan melaporkan diri untuk sesi
latihan pada Selasa ini manakala Aguero masih dalam kecederaan.
Ditanya tentang strateginya
untuk pasukan itu, Williams berkata, beliau akan menggunakan kaedah hantaran
bola pendek dan 'through pass', berbanding hantaran bola tinggi yang sering
dipraktikkan pemain negara dan kelab di Malaysia.
"Saya mahu mengubah gaya
permainan mereka tetapi malangnya jika pemain gagal mengawal bola dan
menempatkan diri mereka di kedudukan yang betul, strategi itu adalah sia-sia,
kita perlu membina kekuatan pemain.
"Kami telah jalani latihan
hantaran bola, gaya lolos dan menempatkan kedudukan (pemain)... Saya mahu
melihatnya di atas padang tetapi malam ini tidak banyak yang dapat saya lihat,
mungkin tiga atau empat hantaran yang cantik dan kami kehilangan bola,"
katanya.
Warga Inggeris yang juga
pemegang pasport Australia itu berkata, kecergasan satu lagi aspek penting dan
beliau sedang berusaha untuk memperbaikinya dan ia sangat-sangat diperlukan
untuk sesuaikan dengan gaya permainan yang dirangkanya.
"Pemain tidak akan bermain
melainkan jika mereka cergas, saya faham masih terlalu awal tetapi pemain tidak
cukup cergas untuk bermain selama 30 minit apatah lagi 45 minit. Jika mereka
tidak cukup cergas bagaimana mereka mahu mendapatkan bola. Jadi saya sedikit
kecewa tetapi ia adalah sesuatu yang perlu kami atasi," katanya.
Sementara itu, beliau berkata,
seperti kelab bola sepak lain di dunia, penyokong adalah aspek paling penting
bagi sesebuah kelab bola sepak yang hebat dan beliau berharap penyokong Melaka
United akan terus bersama-sama skuad itu semasa susah dan senang. - BERNAMA
sumber- See more at:
http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/melaka-united-bentuk-kombinasi-trio-serangan-berbisa-1.421270#sthash.dTU5agSU.dpuf
Tiada ulasan:
Catat Ulasan