ARKIB :
11/01/1998
MOHAMAD JAIS.
SKUAD Liga
Perdana Melaka yang terpaksa bermain pada perlawanan play-off untuk melayakkan
diri ke Liga Perdana Satu musim depan, mengekalkan tujuh pemain musim lalu
serta akan memenuhi kuota tiga pemain import untuk mengharungi kancah liga
musim depan.
Menurut Presiden
Persatuan Bola Sepak Melaka (Mafa), Datuk Mohamad Jais, pasukan tersebut akan
cuba memenuhi tiga kuota pemain import bagi memperkuatkan barisan pemain yang
dikekalkan musim depan, jika kewangan mencukupi.
''Berdasarkan
perjanjian persefahaman (MoU) antara Mafa dengan sebuah syarikat swasta, kita
berharap mereka boleh menaja pasukan ini untuk mendapatkan tenaga import yang
diperlukan.
''Kita akan cuba
menggunakan tiga tenaga import untuk memantapkan pasukan yang dibarisi oleh
kebanyakannya pemain musim lalu,'' katanya ketika dihubungi, di Melaka,
semalam.
Walau
bagaimanapun, Mohamad enggan mendedahkan nama pemain-pemain musim lalu yang
dikekalkan bagi mengelakkan rasa 'besar diri' di kalangan mereka yang
dikekalkan serta rasa kecewa di kalangan pemain yang terpaksa digugurkan.
Skuad Melaka
musim depan akan dikendalikan oleh sebuah syarikat swasta iaitu, Flashtasia
Sdn. Bhd., yang akan bertanggungjawab mengurus perjalanan skuad berkenaan.
Sementara itu,
menurut Mohamad, skuad Melaka yang diterajui oleh bekas pemain kebangsaan, Soh
Chin Aun selaku pengurus, bersama-sama dengan Tajuddin Nor, serta G. Torairaju
sebagai jurulatih masih melakukan pemilihan pemain untuk melengkapkan senarai
akhir, sebelum sepak mula dilakukan, Mac ini.
Katanya, sejak
15 Disember lalu, Chin Aun dan Torairaju telah mengendalikan pemilihan pemain
di padang Dusun Datuk Murad, Ayer Keroh, namun kerana masalah padang yang
teruk, pemilihan seterusnya akan dilakukan semasa ujian perlawanan persahabatan
dengan beberapa pasukan.
''Kita akan
meneruskan pemilihan pemain semasa perlawanan persahabatan nanti sebelum skuad
ini diserahkan kepada syarikat berkenaan yang akan mengendalikan satu lagi
pemilihan pada 12 Januari ini di Stadium Kubu,'' katanya.
Katanya, semasa
proses pemilihan tersebut dijalankan, beberapa pemain dari negeri lain turut
mencuba nasib dengan pasukan tersebut, tetapi masih dipertimbangkan.
''Memang ada
pemain dari negeri lain menjalani pemilihan dengan kita, tetapi kita masih
menilai kemampuan mereka,'' tambahnya yang enggan mendedahkan nama-nama pemain
tersebut.
Mengenai tenaga
import, Mohamad menjelaskan, sehingga kini beberapa orang pemain dari Morocco,
Pakistan dan enam pemain Ghana turut serta dalam sesi pemilihan yang dilakukan.
''Pemain Morocco
dan Pakistan yang hadir tidak sesuai dengan pasukan kita, manakala
pemain-pemain Ghana tersebut masih dinilai kemampuan mereka.
''Selepas ini
beberapa pemain dari Iran dan Brazil juga dijangka akan menjalani pemilihan
dengan skuad ini,'' katanya.
Menurutnya,
seboleh-bolehnya, Melaka ingin menggunakan tiga pemain import yang dibenarkan
terutama jika Melaka terpilih ke Liga Perdana Satu.
Musim lalu
Melaka menggunakan tiga khidmat pemain import dari Nigeria iaitu Abubakar
Sadiq, Mohamed Mohamed dan Tajudeen Usman Olaiya.
Dalam pada itu,
Mohamad berkata, sasaran skuad itu musim depan ialah cuba melayakkan diri ke
bahagian pertama sebelum berusaha untuk melayakkan diri ke pertandingan Piala
Malaysia.
''Sasaran kita
ialah juara atau naib juara, kerana dengan wang kemenangan itu kelak, kita akan
memantapkan lagi pasukan ini untuk tahun 1999,'' katanya.
SUMBER-Artikel
Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0111&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4FEEZcAhG
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan