Ahad, 26 Mac 2017

Kempen Perdana Satu 2003 -- Melaka terlalu serius



ARKIB : 11/01/2003
MELAKA meletakkan harapan yang tinggi dalam saingan bola sepak Perdana Satu musim ini apabila membuat tambahan pelaburan dan mengikat kontrak baru dengan sembilan pemain berpengalaman daripada beberapa negeri lain.

Selain kenaikan imbuhan untuk pemain musim lalu yang masih dikekalkan, Persatuan Bola Sepak Melaka (MAFA) juga akan mendapatkan khidmat jurulatih asing dan dua pemain import dari Nigeria.

Presiden MAFA, Datuk Ibrahim Durum berkata, jika tiada masalah dan mendapat pengesahan syarikat penaja, skuad itu akan menggunakan jurulatih dan pemain import terlibat.

``Kita tidak menetapkan sebarang sasaran pada musim ini tetapi dengan pelaburan yang dibuat, kita berharap kedudukan Melaka lebih baik daripada musim lalu,'' tegasnya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis menandatangani perjanjian tajaan pakaian bernilai kira-kira RM300,000 antara MAFA dengan TSB Sports Sdn. Bhd. yang membekalkan pakaian jenama Admiral di Melaka semalam.

Pada majlis itu juga, 19 pemain menandatangani kontrak untuk bermain dengan skuad Melaka bagi musim 2003.

Menurut Ibrahim, MAFA akan membelanjakan tidak kurang daripada RM110,000 sebulan ekoran kenaikan gaji pemain dan pengambilan pemain baru dalam usaha memantapkan pasukan itu.

Katanya, bekas jurulatih kelab Jurong United dan Geylang FC di Singapura iaitu Bahman Foroutan, 55, akan berganding bahu dengan Md. Shah Norbit untuk membimbing skuad Melaka.

``Jurulatih kelahiran Iran dan bermastautin di Jerman itu mempunyai pengalaman yang luas dalam aspek kejurulatihan dan kita berharap beliau dapat membimbing pasukan Melaka,'' ujarnya.

Ibrahim memberitahu, MAFA juga akan memberi bonus kepada pemain sebagai insentif jika mereka menang sesuatu perlawanan dan bayaran akan dibuat sebelum permainan yang berikutnya.

Sementara itu, pemain Melaka musim lalu yang menandatangani kontrak musim ini ialah Ahmad Zainal Rabin, Abdul Halim Jantan, Ahmad Tharmini Saiban, Azaha Abd. Aziz, Azizon Abd. Kadir, Mohd. Arsyah Mohd. Ayob, Khairul Azuar Kamirun, Rashid Mahmud, Tuan Rosli Tuan Shaari dan Izham Darus.

Manakala sembilan pemain dari pasukan lain yang akan bermain untuk Melaka pada musim ini ialah Arifin Yunus, Mohd. Fauzzi Kassim, Azmil Azali, Norizam Ali Hassan, Aznan Abd. Razak, Mohd. Sofi Md. Isa, Mohd. Nafuzi Mohd. Zain, Ahmad Fazri Zulkifli dan Mohd. Al Rifaie Ali.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0111&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4cUlsnB00© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan