ARKIB : 26/09/2000
PARA pemain Melaka dinasihat 'menyerang habis-habisan' apabila bertemu
Sarawak pada suku akhir kedua bola sepak Piala Malaysia jika berhasrat untuk
mara ke pusingan seterusnya.
Ketua jurulatih Melaka, Ramli Junit berkata, hanya itu sahaja usaha
terakhir mereka untuk menghidupkan peluang ke separuh akhir kejuaraan
berprestij itu.
Pasukan itu terpaksa mengharungi pertemuan kedua menentang Sarawak di
Stadium Kuala Lumpur, Cheras.
Selepas tewas 1-2 dalam pertemuan minggu lalu, Ramli berkata, para pemain
seharusnya bangkit dari segi 'mental' untuk berdepan dengan Sarawak.
''Kekalahan Sabtu lalu berpunca daripada perasaan gementar dan terlalu
berhati-hati. Saya berharap ia tidak berulang untuk pertemuan kali ini,'' kata
Ramli.
Menurut jurulatih itu lagi, beliau memahami perasaan gementar yang dialami
oleh para pemain kerana ia merupakan aksi pertama Melaka di Stadium Sarawak.
''Saya berharap para pemain kembali cergas dan tidak lagi gementar dalam
pertemuan kali ini,'' katanya.
Beliau berkata, semua pemain utama akan dapat diturunkan kecuali Shaiful
Bahri Shahrom yang menerima dua kad kuning berturut-turut semasa menentang
Selangor dan Sarawak.
''Kita juga terpaksa menggunakan khidmat penjaga gol ketiga, Ariffin Yunos
setelah kedua-dua penjaga gol utama, Zainal A. Rabin dan Asri Sanusi kecederaan
lutut,'' katanya.
Beliau bagaimanana tidak risau dengan masalah ini berikutan prestasi
Ariffin yang meyakinkan sepanjang menggantikan Asri pada minit ke-25 semasa
menentang Sarawak minggu lalu.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0926&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4b1aafqWv
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan