ARKIB : 27/05/2001
TELEKOM Melaka menjadi pasukan
paling bangga dalam bola sepak Perdana Dua ketika ini. Sudah tentu mereka
berhak untuk merasakan demikian setelah menjadi pasukan sulung menumbangkan
kejaguhan Johor FC kelmarin.
Apatah lagi kemenangan itu
dirakamkan di tempat lawan di Stadium Pasir Gudang.
Ketua pasukan Telekom Melaka,
Mohd. Shaherul Ardan menjadi pemusnah ego Johor FC apabila menyumbatkan gol
pada minit ke-34 dan 40 untuk kemenangan 2-0.
Selain mencacatkan rekod bersih
Johor FC, yang menang sembilan dan seri sekali dalam 10 perlawanan pertamanya,
Telekom Melaka juga memusnahkan harapan Johor FC untuk menamatkan pusingan
pertama liga tanpa kalah.
Namun, kedudukan kelab dari
selatan Semenanjung itu masih utuh di takhta liga dengan masih berada empat
mata di depan Sabah yang menghuni tangga kedua.
Masih terlalu sukar bagi
pencabar-pencabarnya untuk memintas kedudukan Johor FC. Kekalahan mereka
kelmarin sudah pasti membuatkan anak buah Azuan Zain terjaga daripada mimpi
indah sebelum ini untuk lebih berhati-hati dalam perlawanan seterusnya.
Telekom Melaka pula kekal di
tempat keempat tetapi merapatkan diri dengan JKR Kelantan yang berada satu anak
tangga di atasnya. Mereka sekarang mempunyai 16 mata, satu mata di belakang
pasukan dari Pantai Timur itu.
JKR Kelantan terlepas peluang
untuk merapatkan diri dengan Sabah setelah hanya seri 1-1 dengan NS Chempaka.
Apa pun, pusingan pertama liga
sudah menampakkan bibit-bibit kemajuan bagi pasukan-pasukan bukan di bawah
kelolaan persatuan negeri.
Selain Johor FC, JKR Kelantan
dan Telekom Melaka yang kini berada dalam kelompok empat pasukan terbaik liga
setakat ini, TNB Kelantan dan NS Chempaka juga menarik perhatian.
TNB Kelantan dan NS Chempaka
kini berada di tangga keenam dan ketujuh masing-masing. Kedua-duanya terikat
dengan 14 mata.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0527&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4bdqcsgNJ
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan