Selasa, 29 November 2016

Melaka kalah kepada Selangor 6-1 -- Pemain tergamam - Torai

ARKIB : 28/03/1999
KEKURANGAN pengalaman dan perasaan gementar di kalangan barisan pemain muda Melaka merupakan punca utama pasukan itu dibelasah Selangor 6-1 dalam perlawanan bola sepak Liga Perdana Dua di Stadium Shah Alam, kelmarin.

Jurulatih Melaka, G. Torairaju berkata, kebanyakan pemain juga kurang keyakinan diri apabila berhadapan dengan lawan meskipun mereka bersemangat tinggi.

Katanya, barisan pemain yang diturunkan itu merupakan muka baru musim ini dan cuma dua pemain dianggap berpengalaman _ S. Mili Sameon dan penjaga gol, A. Zainal Rabin.

''Itupun S. Mili terpaksa diganti oleh Amar Razik Ramli dan A. Zainal hanya mempunyai pengalaman dua tahun dalam Liga Perdana,'' katanya semalam.

Melaka sebelum ini mendahului kedudukan liga setelah mengumpul enam mata dengan menewaskan Telekom Melaka 4-0 dan Perlis 4-2.

Torairaju bagaimanapun tidak menyalahkan anak buahnya seratus peratus kerana menganggap mereka mungkin tergamam dalam pertemuan sulung dengan lawan yang dianggap terhandal itu.

Namun ujarnya, pemain Melaka masih menunjukkan aksi yang baik dan penuh bersemangat bagi setengah jam pertama perlawanan malah tidak gelisah sekalipun ketinggalan 0-1 pada minit ke-37.

''Melaka mula kucar-kacir apabila Selangor mendapat gol kedua dan Hussein Maidin menambah derita pasukan Melaka dengan menjaringkan gol sendiri,'' katanya.

Sebagai jurulatih, Torairaju masih mampu menerima hakikat kekalahan itu sekalipun terkilan kerana kalah dengan jumlah yang besar.

''Kita tidak putus asa. Liga ini masih terlalu awal dan ada baki 15 perlawanan lagi untuk Melaka. Ini pengajaran buat pemain,'' katanya lagi.

Torairaju juga akan berbincang dengan penolongnya, Ali Bakar bagi mengubah posisi beberapa pemain untuk memantapkan pasukan

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0328&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4ROiV4Mik © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan