Rabu, 30 November 2016

Pertahanan Melaka masih goyah

ARKIB : 12/04/1999
MESKIPUN menunjukkan aksi yang membanggakan ketika menumpaskan Kelantan, 2-0, Jumaat lalu, Melaka masih memerlukan sekurang-kurangnya dua pemain pertahanan dan dua pemain tengah untuk memantapkan lagi pasukan itu.

Jurulatih Melaka, G. Torairaju berkata, pemain di kedua-dua bahagian itu diperlukan bagi menggantikan pemain-pemain sedia ada sekiranya dilanda masalah kecederaan.

''Misalnya, pemain tengah, Musa Talib yang menunjukkan aksi yang agak bagus pada musim ini perlu digantikan sekiranya mengalami kecederaan,'' katanya semalam.

Beliau berkata, begitu juga di bahagian pertahanan, dua lagi pemain diperlukan supaya dapat mengemaskan lagi jentera di bahagian itu yang setakat ini dibolosi oleh 12 gol.

Baru-baru ini pengurus pasukan, Datuk Ibrahim Durum menyatakan pasukan itu akan membuat rombakan dengan mengambil tiga pemain pertahanan berpengalaman.

Setakat ini dua daripada pemain itu, seorang anak tempatan dan seorang dari Kuala Lumpur sudah dikenalpasti.

Torairaju berkata, setakat ini sejumlah 21 pemain telah mengikat kontrak dengan pasukan Melaka musim ini dan mempunyai empat lagi kekosongan.

''Kita berharap dapat mengisi kekosongan ini supaya skuad muda ini dapat menandingi kehebatan pasukan lain,'' katanya.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0412&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4RU94956F © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan