Sabtu, 24 Disember 2016

Melaka kekal tangga teratas

ARKIB : 03/06/2000
MELAKA berjaya mengekalkan kedudukan di tangga teratas apabila menumpaskan KL Malay Mail 4-0 pada perlawanan bola sepak Liga Perdana Dua di Stadium Kubu, semalam.

Pasukan pelawat memulakan asakan di awal permainan, Melaka berjaya meraih gol pertama apabila pergerakan K. Rajan secara solo membuahkan hasil pada minit ke-31.

Pasukan Hang Tuah menambah gol kedua lapan minit kemudian menerusi rembatan Shaiful Bahri Shahrum yang menumpaskan penjaga gol lawan, M. Pavalamani setelah menerima hantaran Amrie Abdullah.

Derita pasukan pelawat semakin parah apabila kesilapan yang dilakukan oleh benteng pertahanan lawan membolehkan M. Rizalruddin A. Ghani menjaringkan gol ketiga pada minit ke-41.

Melaka terus melebarkan jaringan setelah pemain gantian pada separuh masa kedua, Sri Jaafar Rahman menyumbangkan gol keempat pada minit ke-78, berikutan kesilapan yang dilakukan oleh penjaga gol KL Malay Mail.

Kedah turut bermain cemerlang di gelanggang sendiri dengan menewaskan Kelantan 3-1 di Stadium Darul Aman, Alor Setar.

Tiga mata semalam penting dalam usaha mengatasi Melaka yang sekarang mendahului Perdana Dua.

Pada minit ke-23, Cik Zambil Ahmad memberi gol semangat hasil sepakan leret di sebelah kanan pintu gol Kelantan. Beliau berjaya merampas bola dari kecuaian pemain Kelantan dan seterusnya melakukan sepakan yang gagal diselamatkan penjaga gol, Mohd Shahrizan Ismail.

Kelantan mendapat gol penyamaan pada minit ke-62 melalui sepakan Anuar Abu Bakar. Anuar yang tidak dikawal mendapat bola hasil sepakan sudut dan beliau yang berada hanya beberapa meter dari pintu gol dengan mudah menyepak masuk.

Cik Zambil menjadi wira Kedah apabila menjaringkan gol keduanya pada minit ke-77, hasil usaha beliau yang mendapat bola dari luar kotak penalti dan kemudian membawanya ke depan pintu gol dan dengan mudah menewaskan penjaga gol lawan untuk menyepak bola ke gawang.

Kemudian sepakan kencang Mohd Khamal Idris Ali pada minit ke-87, mendatangkan gol ketiga Kedah.

Di Johor Bahru, Johor FC dan TNB Kelantan seri 1-1 dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Pasir Gudang.

TNB Kelantan mendahului 1-0 pada minit ke-73 menerusi jaringan Zainuddin Ariffin. Bagaimanapun Sheikh Ahmad Redzuan menyamakan kedudukan pada minit terakhir.

JKR Kelantan pula menewaskan Tentera 2-0 dalam perlawanan di Stadium Sultan Mohamed Ke-IV, Kota Bharu.

Gol pasukan tuan rumah dijaringkan oleh Che Hishamuddin Hassan pada minit ke-56 dan Adnan Musa pada minit ke-82.

Dalam satu lagi perlawanan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, NS Chempaka dan Telekom Melaka seri 1-1.

Gol NS Chempaka dijaringkan oleh A. Ravichandran pada minit ke-55 sementara Telekom Melaka memperoleh gol penyamaan menerusi Wirat Nom seminit sebelum tamat permainan

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0603&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4TkHPmqX0 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan