SELASA, 13 DISEMBER 2016 @ 9:06
PM
- Foto Hasriyasyah Sabudin MELAKA: Pemain
sayap, R Gopinathan perlu mendapat pelepasan dari Selangor seandainya mahu
menyertai skuad Melaka United musim depan kerana masih mempunyai kontrak dengan
pasukan itu. Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA), Datuk
Mohd Yusoff Mahadi berkata mereka memberi ruang kepada pemain berusia 27 itu
berbincang dengan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) kerana tidak mahu dituduh
'mencuri pemain'.
Menurutnya, Melaka United menawarkan tempat
kepada Gopinathan kerana ada penaja yang mahu membawa pemain berkenaan ke
Melaka United bagi mengharungi saingan Liga Super musim depan. "Ada penaja
mahu membantu menampung sebahagian gajinya kerana awal-awal lagi kami telah
katakan Melaka United tidak mampu berbelanja besar dan perlu mengurus wang
dengan berhemah.
"Bagaimanapun, kita beri
masa dan biarkan Gopi (Gopinathan) selesaikan dengan pasukannya (Selangor)
mengenai kontrak itu," katanya yang juga pengurus pasukan Melaka United
kepada pemberita di sini, hari ini. Mengulas status perpindahan kapten pasukan
Harimau Malaysia, Mohd Amri Yahyah ke Melaka United, Mohd Yusoff berkata secara
dasarnya bekas pemain Johor Darul Ta'zim berusia 35 tahun itu bersetuju
menyertai skuad Melaka.
"Perpindahan itu dijangka dimuktamadkan
oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Idris yang juga Presiden MUSA, malam ini.
"Amri telah menyatakan kesediaannya bersama Melaka United dan kami akan
memberi taklimat kepada presiden mengenai hal ini sebelum perjanjian
ditandatangani," katanya. - BERNAMA
Sumber-Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/223496
Tiada ulasan:
Catat Ulasan