Ahad, 11 Disember 2016

Nasib Torairaju akan ditentukan dua minggu lagi

ARKIB : 30/10/1999
PERSATUAN Bola Sepak Melaka (MAFA) akan mengadakan mesyuarat dalam tempoh dua minggu lagi bagi menentukan sama ada mengekalkan khidmat jurulatih G. Torairaju atau sebaliknya bagi membimbing pasukan Liga Perdana negeri pada musim depan.

Setiausaha Kehormat MAFA, Hahi Salleh berkata, setakat ini persatuan ada menerima beberapa permohonan untuk menjadi jurulatih pasukan tersebut musim hadapan.

''Bagaimanapun MAFA perlu mengkaji dengan teliti terlebih dahulu sebelum mengambil keputusan muktamad dalam hal ini,'' katanya di Melaka, semalam.

Dalam Liga Perdana musim ini, anak buah Torairaju hampir melayakkan diri ke Piala Malaysia tetapi hajat tersebut tidak kesampaian apabila tumpas dalam pusingan kelayakan Piala Malaysia.

Sementara itu, Presiden MAFA, Datuk Ibrahim Durum memberitahu, Melaka yang kekal dalam divisyen dua musim depan sedang berusaha mengenal pasti tiga pemain yang mampu memperkuatkan lagi barisan pertahanan pasukan itu.

Ibrahim juga memberitahu, kelemahan yang dikenal pasti terhadap barisan pemain sedia ada adalah dari segi pertahanan pasukan dan kurangnya pengalaman ketika bermain di gelanggang lawan.

''Banyak pemain tidak dapat menyesuaikan diri dengan baik di gelanggang lawan berbanding perlawanan di gelanggang sendiri,'' katanya yang kekal sebagai pengurus pasukan musim depan.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=1030&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_06.htm#ixzz4SXYKyjNP © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan