Ahad, 25 Disember 2016

Melaka United mampu menyegat

 
SPASO (kanan) meledak 24 gol bersama Melaka United sepanjang musim ini.

PENYERANG import berbisa Melaka United, Ilija Spasojevic optimis skuad Sang Kancil itu mampu menamatkan saingan Liga Super musim depan dalam kelompok lima teratas.

Pemain berusia 29 tahun dari Montenegro yang mengakui ba­hawa saingan pada liga utama Malaysia itu lebih kompetitif dan mencabar berkata, kehadiran jurulatih baharu, Eric Williams dan beberapa pe­­main berpengalaman dapat membantu juara Liga Premier tersebut merealisasikan sasaran berkenaan.

“Bagi musim depan, kita mem­punyai ramai pemain baharu yang berkualiti dan berpengalaman, jadi sudah pasti kami boleh mencapai sasaran itu, namun memerlukan sedikit masa untuk mendapat­kan ke­serasian antara kami.

“Kita juga mendapat jurulatih baharu yang boleh berkomunikasi dalam bahasa Mela­yu dan saya sudah berlatih di bawah beliau untuk sebulan. Beliau juga mempunyai corak dan strategik yang berbeza berbanding jurulatih terdahulu, Mat Zan Mat Aris,” katanya.

Spasojevic yang lebih dikena­li sebagai Spaso serta fasih berbahasa Melayu masih segar dengan dua trofi yang diraih pada Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2016, Jumaat lalu.

Beliau merangkul Kasut Emas sebagai penjaring terba­nyak Liga Malaysia dan anugerah Penjaring Terbanyak Import (Liga Premier) selepas meledak 24 gol sepanjang musim ini.

Spaso yang mempelajari bahasa Melayu ketika bermain selama lima tahun di Indonesia berkata, Williams mempunyai perancangan untuk menukar taktikal perlawanan Melaka United yang sebelum ini menggunakan format 4-2-3-1.

Dia turut yakin bahawa kehadiran kapten pasukan kebangsaan, Mohd. Amri Yahyah dan pemain import berasal dari Argentina yang sebelum ini beraksi untuk kelab Tatabanya di Hungary, Sergio Aguero dapat memantapkan skuad itu untuk mengancam barisan pertahanan lawan.

Selain tiga penyerang tersebut, skuad Sang Kancil juga mempunyai Mohd. Fauzi Roslan, Nurshamil Abd. Ghani dan Izzaq Faris Ramlan yang boleh memberikan kelebihan kepada pasukan itu untuk mendapatkan kemenangan.

Melaka United dijangka me­ngadakan aksi persahabatan pramusim menentang Negeri Sembilan pada 29 Disember ini.

Selepas itu, mereka akan mengharungi Jelajah Kemboja sebagai persediaan untuk Liga Super yang bakal membuka tirai pada 21 Januari. – Bernama

SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=1226&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4TtSrCAfQ Hakcipta terpelihara

Tiada ulasan:

Catat Ulasan