ARKIB : 28/12/1999
TEKA-TEKI mengenai penyandang
jawatan ketua jurulatih pasukan bola sepak Liga Perdana Melaka musim depan
terjawab apabila bekas pemain kebangsaan, Remeli Junit dilantik menggantikan G.
Torairaju, lapor AMIRUDDIN HARUN.
Pengumuman mengenai pelantikan
itu dibuat oleh Yang Dipertua Persatuan Bola Sepak Melaka (MAFA), Datuk Ibrahim
Durum, sejurus sebelum beliau berlepas ke Mekah untuk menunaikan umrah pada
Ahad lalu.
Menurut Setiausaha Kehormat
MAFA, Hahi Salleh, selain dilantik sebagai ketua jurulatih bagi pasukan Liga
Perdana Melaka, Remeli juga akan memimpin pasukan Piala FA negeri tahun depan.
Berikutan pelantikan itu,
katanya, Remeli akan melepaskan jawatannya sebagai Ketua Jurulatih Piala
Presiden dan Sukan Malaysia (Sukma) 2000 yang baru disandangnya.
''Surat pelantikan Remeli
sebagai ketua jurulatih Liga Perdana Melaka musim depan akan dikeluarkan
secepat mungkin,'' katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Melaka,
semalam.
Remeli, 44, pernah menyarung
jersi pasukan kebangsaan selama tiga tahun berturut-turut sejak tahun 1977
hingga 1980. Dalam masa yang sama, beliau menyertai pasukan Selangor dalam
kempen Piala Malaysia.
Pada tahun 1980, beliau
berpindah pula untuk mewakili pasukan Melaka dalam kempen Piala Malaysia
sehingga tahun 1989.
Remeli sebelum ini pernah
menjadi jurulatih bagi pasukan Melaka pada Liga Perdana tahun 1996. Beliau juga
merupakan bekas jurulatih pasukan Piala Presiden bagi tahun 1995 hingga 1998
dan Sukma VII pada tahun 1998.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=1228&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_06.htm#ixzz4SnMcXtZx
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan