ARKIB : 13/01/2003
MELAKA yang meletakkan sasaran
memperbaiki kedudukan lebih baik pada musim Liga Perdana Satu tahun ini,
merancang beberapa perlawanan persahabatan bagi memantap dan memperbaiki
kelemahan yang ada.
Presiden Persatuan Bolasepak
Melaka (MAFA) Datuk Ibrahim Durum berkata, pada 21 Jan ini, MAFA akan
menganjurkan pertandingan bola sepak empat penjuru di Stadium Hang Tuah.
``Pasukan yang terlibat ialah
Melaka, Brunei, Pahang dan pasukan bawah 23 tahun dari Singapura,'' katanya di
Melaka, semalam.
Beliau berkata, ia sebagai sesi
latihan dan persiapan skuad Melaka untuk menghadapi saingan dalam Liga Perdana
Satu tahun ini serta memastikan Melaka bersedia menghadapi cabaran itu.
Barisan skuad Kancil tahun ini diperkuatkan
dengan Norizam Ali Hassan iaitu bekas pemain Perak musim lalu yang digandingkan
dengan Abdul Halim Jantan, dijangka mampu menguatkan barisan serangan Melaka.
Ibrahim berkata, pada awal
Februari, MAFA mengatur dua perlawanan dengan dua pasukan elit dari Singapura
iaitu Geylang FC dan Jurong United yang sememangnya antara pasukan kuat di
republik berkenaan.
Beliau berkata, MAFA juga sedang
mengatur dua lagi pertemuan dengan pasukan Olimpik Nigeria yang akan mengadakan
lawatan ke Malaysia pada bulan depan.
Beliau berharap Majlis MAFA akan
bersetuju untuk menjual tiket pada kesemua perlawanan itu dengan harga murah
bagi menarik ramai penonton dari Melaka menyaksikan kesemua perlawanan yang
telah dirancangkan itu.
``Dengan persiapan ini dan segala
usaha MAFA termasuk sedang mendapatkan penaja bagi membolehkan jurulatih
kelahiran Iran, Bahman Foroutan melatih skuad Melaka, diharapkan Melaka mampu
memberi saingan sengit kepada pasukan lain,'' katanya.
Bahman, 55, dari Tehran dan
mempunyai sijil kejurulatihan dari Jerman, pernah melatih pasukan Jurong United
selama empat tahun.
Sebelum ini, beliau menjadi
jurulatih dan pengurus kesukanan beberapa kelab di Jerman selama 28 tahun,
termasuk kelab Clementi Khalsa. - Bernama
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0113&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_07.htm#ixzz4cVLhVaGY©
Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan