ARKIB : 10/09/2000
PENYERANG kebangsaan, Yusri Che Lah meleburkan impian Melaka untuk cuba
membuka ruang persaingan ke suku akhir bola sepak Piala Malaysia apabila
jaringannya pada minit terakhir perlawanan memastikan Selangor seri 1-1 di
Stadium KLFA, Cheras, semalam, sekali gus mengesahkan Red Giants ke suku akhir.
Melaka tampak pulang dengan tiga mata penuh selepas pemain tengah K. Rajan
menanduk masuk gol pembukaan pada minit ke-75 setelah berkali-kali mengasak
kubu Selangor tetapi kelekaan di barisan pertahanan menggagalkan hasrat pasukan
Ramli Junid untuk memberi saingan.
Biarpun menjadi tuan rumah tetapi bukan di gelanggang sendiri, kesungguhan
Melaka mencari kemenangan terserlah sejak awal permainan menerusi rangkaian
asakan berbahaya dan jaringan K. Rajan pada minit ke-75 pasti dianggap amat
berharga bagi pasukan kendalian Ramli Junid.
Namun, sepakan sudut pada miniti terakhir yang diambil oleh Jaafar Salleh
tepat ke kepada Yusri yang melonjak menanduk masuk gol penyamaan. Kejayaan itu
terus meletakkan Selangor di tangga teratas kumpulan A dengan 10 mata dan
Melaka mengumpul empat mata.
Begitu pun, aksi tegang menyulami babak awal permainan sehingga memaksa
pengadil perlawanan, Mat Lazim Awang Hamat melayangkan kad kuning kepada
penyerang Selangor, Rusdi Suparman dan pertahanan Melaka, Shaiful Bahari
Shahrum selepas kedua-dua pemain terbabit dalam kekasaran di penjuru padang
kawasan Melaka.
Melaka terus beraksi garang pada babak kedua dan sekali lagi mereka hampir
memperoleh jaringan jika tidak dinafikan Azmin yang terus mempamer aksi tangkas
menyelamatkan dua percubaan skuad Kancil yang mampu menghasilkan gol pada minit
ke-60 dan 62.
MELAKA: Asri Sanusi, S. Arumugam, Ahmad Fairuz Yunus, Rasid Mamud, K.
Rajan,
Abd. Karim Rahman (Ariffadillah Nordin), Sri Jaafar Rahman, Amrie Abdullah,
M. Shahril Nizam Khalil, Shaiful Bahari Shahrum, M. Hardi Jaafar.
SELANGOR: Azmin Azram Aziz, B. Rajinikandh, Nazzab Hidzan (Zami Mohd.
Noor), Mohd. Nizam Jamil, M. Chandran (S. Sivaram), Assrof Hanafiah, Jaafar
Salleh, K. Sanbagamaran, Nor Suhaimi Bahauddin, Yusri Che Lah, Rusdi Suparman.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0910&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4b0XfM9U3
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan