ARKIB : 24/02/2007
Oleh: KAMARUDDIN ISMAIL
IPOH Para pemain Melaka
dikatakan mudah patah semangat sehingga senang tersungkur kepada pihak lawan
dalam saingan bola sepak Liga Super musim ini.
Jurulatih Melaka, E. Elavarasan
mengakui para pemainnya mudah patah semangat apabila pengadil perlawanan, Noor
Azman Nordin mengesahkan jaringan Perak pada minit ke-51 sewaktu aksi liga di
sini, Rabu lalu.
Elavarasan mendakwa jaringan
gol tersebut sepatutnya tidak diterima kerana bola itu ditolak dengan tangan ke
dalam jaring Melaka oleh pemain Perak.
Selain itu katanya, salah
seorang pemain Perak turut berada dalam kedudukan ofsaid.
Apapun beliau tetap akur dengan
keputusan Noor Azman tetapi semangat juang pemain-pemain Melaka jelas mulai
pudar selepas itu.
Mereka sebagai pemain
profesional sepatutnya tidak terikut-ikut dengan emosi masing-masing sehingga
menjejaskan pasukan itu, jelas Elavarasan.
Para penonton telah menyaksikan
penyerang Perak, Khalid Jamlus yang bertindak pantas menguis masuk bola ke dalam
gawang Melaka setelah berlaku pergelutan di depan pintu gol pasukan itu.
Walaupun terdapat bantahan
daripada para pemain Melaka tetapi pengadil permainan itu tetap menerima
jaringan tersebut.
Selain itu katanya, ketiadaan
penyerang import, Eduardo Alberto Escobar yang dikeluarkan sebelum waktu rehat
akibat kecederaan turut menjejaskan persembahan Melaka.
Elavarasan menyatakan ketiadaan
Eduardo menyebabkan serangan Melaka semakin tumpul yang mana memberi semangat
kepada para pemain Perak untuk melakukan asakan bertalu-talu.
Katanya, semangat para pemain
Perak semakin memuncak apabila memperolehi gol pertama sehinggakan Melaka
terpaksa berkubu di tempat sendiri.
Namun begitu beliau tetap
berpuas hati dengan kesungguhan para pemainnya yang berjaya menangkis serangan
Seladang.
Jurulatih itu tetap percaya
Melaka masih mampu bangkit dan keluar daripada kelompok pasukan terbawah liga.
Katanya, perjalanan liga masih
panjang dan banyak perlawanan yang perlu dilalui dengan pelbagai keputusan yang
akan dicatatkan.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0224&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4tKaPVv2c
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan