ARKIB : 05/03/2007
Oleh MD.ZAN SAARI
MELAKA Pemain skuad Olimpik
Malaysia, Farderin Kadir membuktikan bahawa dia adalah antara penyerang yang
perlu diberi tumpuan setiap kali beraksi di padang.
Dalam perlawanan antara Melaka
menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Stadium Hang Jebat di sini
semalam, hampir kesemua gerakan menyerang tuan rumah direncanakan pemain muda
ini.
Ketika gandingan pemain import,
Richard Privitzer dan Patrick Volf dilihat kurang bermaya hingga menimbulkan
rasa muak penyokong Hang Tuah terutamanya pada separuh masa pertama, Farderin
ternyata menyerlah dengan larian-larian solonya.
Melaka menewaskan ATM 4-2 dan
Fraderin terlibat dengan tiga daripada gol tersebut.
Gol pertama perlawanan
dijelmakan pemain ini selepas dia membuat satu larian di sebelah kiri gawang
pelawat dan menggelecek beberapa pemain pertahanan ATM sebelum melakukan
hantaran yang disudahkan oleh pemain veteran, Md. Nor Derus pada minit ke 40.
Penyerang berbakat besar ini
sepatutnya boleh menjadikan kedudukan 2-0 pada babak akhir separuh masa
pertama, namun rembatannya derasnya di dalam kotak penalti sedikit tersasar
walaupun penjaga gol ATM, Abd. Rahman Baba gagal menjangkau bola berkenaan.
Tiga minit selepas separuh masa
kedua bersambung, Melaka menggandakan kelebihan apabila Richard Privitzer mudah
menanduk masuk bola hantaran Patrick Volf di sebelah kiri pintu gol ATM.
Gol ketiga tuan rumah juga
dicipta Farderin pada minit ke 55 selepas dia sekali lagi membuat larian solo
dan melakukan rembatan kaki kiri lalu ditampan oleh pemain pertahanan ATM,
Mohd. Hazrol Abu Hassan mengakibatkan gol sendiri lantas menjadikan kedudukan
3-0.
Selepas kelihatan selesa
mendahului, tuan rumah mula leka menyebabkan pelawat berjaya menghasilkan dua
jaringan jarak jauh menerusi Masrizar Mazlan dan Mohd. Rosfizam Osman pada
minit ke 59 dan 69.
Farderin bagaimanapun,
memastikan tuan rumah terus mengekalkan rekod tanpa kalah dalam saingan
Kumpulan B Piala Malaysia, apabila melakukan satu tandukan tajam pada minit ke
82 setelah mendapat hantaran Patrick Volf.
Jurulatih Melaka, E.Elavarasen
ketika ditemui selepas perlawanan berkata, Farderin kini kelihatan lebih yakin
selepas pulang dari luar negara bersama skuad Olimpik baru-baru ini.
Dia kelihatan berkeyakinan dan
tenang ketika membawa bola, bersemangat serta mahu membuktikan dia sebagai
antara penyerang muda harapan negara, katanya.
Elavarasen bagaimanapun turut
kecewa kerana barisan pertahanannya leka selepas mendahului 3-0 semalam.
Menurutnya, dia kini mahu
menumpukan sepenuh perhatian untuk memastikan Melaka membawa pulang tiga mata
apabila bertandang ke Stadium Darul Aman, Alor Setar menentang Kedah dalam
saingan Liga Super Sabtu ini.
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0305&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4tMYTjSYE
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan