Khamis, 21 September 2017

Melaka tetap berwaspada



ARKIB : 03/03/2007
MELAKA – Pendahulu Kumpulan B dalam saingan Piala Malaysia, Melaka tetap berwaspada ketika berdepan perlawanan menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) malam ini.

Walaupun kini mula dilabel pasukan pilihan untuk menjuarai kumpulan tersebut, namun jurulatihnya, E. Elavarasen tetap merendah diri menjelang perlawanan itu nanti.

‘‘ATM pernah beberapa kali mengejutkan pasukan ternama di negara ini seperti Pulau Pinang dan Kelantan baru-baru ini.

‘‘Malah, mereka menewaskan Sabah dalam perlawanan Liga Perdana di gelanggang lawan pada 5 Januari lalu,” kata beliau ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.

Jelasnya, beliau akan tetap berwaspada dan tidak mahu pasukannya terperangkap dalam percaturan lawan malam ini.

Ketika ini hanya Melaka dan pendahulu Kumpulan A, Selangor masih belum tumpas dalam kancah saingan Piala Malaysia musim ini.

Malah, Skuad Hang Tuah juga hanya melepaskan satu gol iaitu ketika ketinggalan semasa menentang Pulau Pinang di Stadium Bandaraya 24 Februari lepas.

Melaka akan mempunyai kelebihan lima mata jika menang dalam perlawanan malam ini dan sekiranya Terengganu, yang bertandang ke Stadium Sultan Mohd. ke IV, tumpas kepada Kelantan.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai strategi yang bakal digunakannya, Elavarasen berkata, beberapa pemain utama pasukannya akan direhatkan malam ini.

‘‘Mereka sudah bermain tiga perlawanan dalam tempoh seminggu, jadi saya tidak mahu mengambil risiko menurunkan pemain yang tidak benar-benar cergas.

‘‘Tambahan pula, kami akan bertandang ke Kedah pada 10 Mac ini, justeru para pemain perlu mendapat rehat yang secukupnya untuk menghadapai cabaran Liga Super pula,” jelasnya.

Mengulas lanjut katanya, perancang utama pasukan, Alberto Eduardo Escobar masih tidak dapat diturunkan kerana menghadapi kecederaan lutut.

Bagaimanapun menurut Elavarasen, tanpa penyerang itu, beliau masih yakin Melaka akan dapat mengutip tiga mata penuh malam esok di Stadium Hang Jebat.

Katanya, beliau mahu rekod tanpa kalah anak-anak buahnya itu dilebarkan kepada empat perlawanan bagi membuktikan bahawa pasukannya memang boleh pergi jauh musim ini.

‘‘Kami bukan sahaja perlu buktikan kepada pihak pengurusan, tetapi juga peminat yang setia datang ke Stadium Hang Jebat selama ini,” ujarnya.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0303&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4tMMkOx00
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan