ARKIB : 22/01/2003
PERSATUAN Bolasepak Melaka
(MAFA) yang menyambut ulang tahun penubuhannya yang ke-79 tahun ini, akan
mengadakan pertandingan bola sepak empat penjuru bermula, hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Induk
sambutan, Datuk Yahaya Koming berkata, pertandingan itu melibatkan empat
pasukan Ñ Melaka, Pahang, Brunei dan pasukan bawah 23 tahun Singapura.
``Ini adalah pembuka tirai
kepada sambutan Jubli Intan sempena penubuhan MAFA pada tahun 1924,'' katanya
dalam satu kenyataan di Melaka, semalam.
Beliau berkata, kesanggupan
Pahang dan Brunei menyertai pertandingan itu adalah sebagai persiapan
menghadapi pertandingan liga perdana tahun ini.
``Bagi Melaka, ia diharap akan
menguji kekuatan pasukan di bawah jurulatih kelahiran Iran, Bahman Foroutan
sejak sebulan lepas,'' katanya.
Yahaya berkata, Melaka sebelum
ini telah mengadakan tiga perlawanan persahabatan dan menang sekali dengan
Polis 4-1, dan kalah kepada Majlis Perbandaran Petaling Jaya (0-1) dan Negeri
Sembilan (2-3).
Katanya, melalui perlawanan
itu, pihak pengurusan pasukan telah mengenal pasti kelemahan pasukan.
Dalam perlawanan pembuka tirai
hari ini, Singapura akan bertemu Pahang pukul 7.45 malam di Stadium Hang Tuah,
diikuti Melaka menentang Brunei pukul 9.45 malam.
Esok, Brunei menentang
Singapura pukul 7.45 malam, diikut pertemuan Melaka dan Pahang. Pada Jumaat,
Brunei akan menentang Pahang dan Melaka bertemu Singapura.
Perlawanan akhir akan diadakan
Ahad ini pukul 8.45 malam. - Bernama
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0122&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_08.htm#ixzz4cW67cmdL
© Utusan Melayu (M) Bhd