ARKIB : 03/03/2007
MELAKA Pendahulu Kumpulan B
dalam saingan Piala Malaysia, Melaka tetap berwaspada ketika berdepan
perlawanan menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) malam ini.
Walaupun kini mula dilabel
pasukan pilihan untuk menjuarai kumpulan tersebut, namun jurulatihnya, E.
Elavarasen tetap merendah diri menjelang perlawanan itu nanti.
ATM pernah beberapa kali
mengejutkan pasukan ternama di negara ini seperti Pulau Pinang dan Kelantan
baru-baru ini.
Malah, mereka menewaskan
Sabah dalam perlawanan Liga Perdana di gelanggang lawan pada 5 Januari lalu,
kata beliau ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.
Jelasnya, beliau akan tetap
berwaspada dan tidak mahu pasukannya terperangkap dalam percaturan lawan malam
ini.
Ketika ini hanya Melaka dan
pendahulu Kumpulan A, Selangor masih belum tumpas dalam kancah saingan Piala
Malaysia musim ini.
Malah, Skuad Hang Tuah juga
hanya melepaskan satu gol iaitu ketika ketinggalan semasa menentang Pulau
Pinang di Stadium Bandaraya 24 Februari lepas.
Melaka akan mempunyai kelebihan
lima mata jika menang dalam perlawanan malam ini dan sekiranya Terengganu, yang
bertandang ke Stadium Sultan Mohd. ke IV, tumpas kepada Kelantan.
Dalam pada itu, ketika ditanya
mengenai strategi yang bakal digunakannya, Elavarasen berkata, beberapa pemain
utama pasukannya akan direhatkan malam ini.
Mereka sudah bermain tiga
perlawanan dalam tempoh seminggu, jadi saya tidak mahu mengambil risiko
menurunkan pemain yang tidak benar-benar cergas.
Tambahan pula, kami akan
bertandang ke Kedah pada 10 Mac ini, justeru para pemain perlu mendapat rehat
yang secukupnya untuk menghadapai cabaran Liga Super pula, jelasnya.
Mengulas lanjut katanya,
perancang utama pasukan, Alberto Eduardo Escobar masih tidak dapat diturunkan
kerana menghadapi kecederaan lutut.
Bagaimanapun menurut
Elavarasen, tanpa penyerang itu, beliau masih yakin Melaka akan dapat mengutip
tiga mata penuh malam esok di Stadium Hang Jebat.
Katanya, beliau mahu rekod
tanpa kalah anak-anak buahnya itu dilebarkan kepada empat perlawanan bagi
membuktikan bahawa pasukannya memang boleh pergi jauh musim ini.
Kami bukan sahaja perlu
buktikan kepada pihak pengurusan, tetapi juga peminat yang setia datang ke
Stadium Hang Jebat selama ini, ujarnya.
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0303&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4tMMkOx00
© Utusan Melayu (M) Bhd