Isnin, 5 Jun 2017

Pemain Melaka dapat tunggakan gaji



ARKIB : 01/11/2005

MELAKA - Kemelut 21 pemain bola sepak Melaka yang kecoh kerana tidak menerima gaji selama empat bulan berturut-turut berakhir semalam selepas Persatuan Bola Sepak Melaka (MAFA) bersedia untuk menjelaskan kesemua tunggakan berkenaan.

Pada masa yang sama, nilai gaji keseluruhan sebanyak RM159,000.02 yang diibaratkan duit raya pada tahun ini telah dimasukkan melalui akaun bank para pemain.

Presiden MAFA, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, beliau mahu pemain mengotakan janji masing-masing untuk bermain bersungguh-sungguh dengan Melaka.

Katanya, beliau pada mulanya tidak mahu mencampuri urusan pembayaran gaji berkenaan yang tertunggak sejak Julai lalu memandangkan ia adalah masalah yang dicetuskan pengurusan MAFA yang lama.

Namun, beliau akhirnya bersetuju untuk melunaskan tunggakan berkenaan dengan harapan dapat mengembalikan semangat para pemain kegemilangan skuad Melaka.

``Saya menaruh cita-cita yang tinggi pada pasukan ini. Saya berharap dengan pemberian gaji tertunggak ini, pasukan ini akan melangkah lebih jauh lagi,'' katanya ketika ditemui selepas menyerahkan cek gaji 21 pemain terbabit kepada bendahari MAFA, semalam.

Dalam pada itu, Mohd. Ali berjanji bahawa gaji pemain terbabit akan dibayar secara bulanan selepas sambutan Hari Raya.

Jelasnya, sebagai menjamin kebajikan pemain, gaji yang diberi MAFA akan dicarum ke dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), insurans nyawa dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=1101&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4jB0yRZoH
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan