M JEFFRI RAZALI
14 FEBRUARI 2017
Melaka United tundukkan PKNS FC
1-0 Mohd Faizal Muhamad (kanan) cuba menghalang pergerakan Lucas Sebastian
Espindola. - Foto Mohd Noordin Shariff
MELAKA United mara ke pusingan
ketiga saingan Piala FA selepas menundukkan PKNS FC 1-0 dalam saingan pusingan kedua
piala berkenaan di Stadium Hang Jebat malam ini.
Turun berbekalkan kekalahan
kepada T-Team Sabtu lalu ternyata Melaka United nampak lebih banyak menyerang
pada minit-minit awal permainan.
Melaka United hampir memperoleh
gol hadiah pada minit ketujuh apabila hantaran ke belakang Gonzalo Manuel Soto
akibat diasak Ilija Spasojevic hanya sipi di kiri gol PKNS FC walaupun penjaga
gol Muhammad Zamir Selamat sudah tertewas.
Gandingan Amri Yahyah dan
Spasojevic di bahagian hadapan nyata beberapa kali berjaya mengucar-kacirkan
pertahanan PKNS FC.
Pada minit ke-21, kuisan Amri
yang gagal dijangkau Muhammad Zamir berjaya mencecah jaring PKNS FC.
Bagaimanapun, gol tersebut dibatalkan kerana ofsaid.
Pada minit ke-28, Melaka United
sekali lagi dinafikan peluang untuk memecahkan kebuntuan apabila sepakan deras
Muhammad Khairu Azrin Khazali dari jarak 30 meter di luar kotak penalti hanya
mengegarkan palang gol.
Walaupun banyak bertahan dalam
separuh masa pertama, PKNS FC beroleh peluang terbaik pada minit ke-40.
Safee Sali yang menerima
hantaran Lucas Sebastian Espindola berjaya menewaskan keseluruhan pertahanan
Melaka United sebelum percubaannya ke arah gol diselamatkan penjaga gol Mohd
Fazli Paat menggunakan kaki kanannya.
Separuh masa kedua menyaksikan
Melaka United terus mengandakan asakan di mana pada minit ke-55 pintu gol PKNS
sekali lagi terselamat apabila percubaan Jeon Woo Young terkena tiang walaupun
penjaga gol PKNS FC sudah tertewas.
Gol PKNS akhirnya bolos pada
minit ke-65 apabila Amri yang menerima bola dari Spasojevic dengan tenang
mendada bola sebelum melepaskan sepakan untuk menewaskan Muhammad Zamir.
PKNS FC yang seolah-olah
kehilangan punca apabila beberapa percubaan mereka ke gawang Melaka United
berjaya dipatahkan barisan pertahanan yang dikemudi Godwin Antwi.
Walaupun minit-minit akhir
perlawanan menyaksikan PKNS FC melancarkan serangan bertubi-tubi namun ini
tidak memadai untuk mereka menghalang Melaka United mencatat kemenangan tipis
sekaligus mara ke pusingan seterusnya.
Sumber-SINAR HARIAN ONLINE 14
FEBRUARI 2017
Tiada ulasan:
Catat Ulasan