Jumaat, 24 Februari 2017

MU perlu teruskan momentum kemenangan

M JEFFRI RAZALI
24 FEBRUARI 2017
MU perlu teruskan momentum kemenangan 
MU perlu teruskan momentum kemenangan Melaka United ditagih teruskan momentum kemenangan dalam pertemuan dengan Pahang malam minggu ini
MELAKA United perlu meneruskan momentum tiga kemenangan berturut-turut dalam usaha memastikan mereka dapat bersaing dengan Pahang dalam saingan Liga Super di Stadium Hang Jebat malam esok (Sabtu).

Malahan, pertemuan berkenaan yang dianggap sebagai yang paling mencabar setakat ini adalah penting dalam memastikan misi skuad Hang Tuah untuk terus mendaki kedudukan liga tidak terbantut.

Turun selepas mencatatkan kemenangan ke atas Sarawak dan Kelantan di gelanggang lawan serta menewaskan PKNS FC dalam saingan Piala FA semestinya diharapkan dapat menyuntik semangat baharu kepada pasukan bimbingan Ketua Jurulatih, Eric Williams, ini.


Menurut Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United (Musa), Datuk Seri Idris Haron, kemenangan Melaka United dalam tiga perlawanan terakhir sebelum ini perlu dijadikan sebagai pendorong untuk mereka menyaingi pasukan Tok Gajah.

Menurutnya, kemampuan menewaskan The Red Warrior 2-0 di hadapan lebih 10,000 penyokong mereka di Stadium Sultan Muhammad IV Kota Bharu jelas membuktikan keupayaan Melaka United bersaing dengan pasukan yang lebih ternama.

"Saya percaya kemenangan ke atas Sarawak telah memberi keyakinan kepada pemain untuk memberikan yang terbaik ketika menentang Kelantan.

"Sekarang mereka perlu pula menjadikan kemenangan itu semua sebagai azimat dan pembakar semangat untuk berhadapan Pahang," katanya.

Melaka United kini menghuni tangga ketujuh liga dengan tujuh mata hasil dua kemenangan, satu seri dan dua kalah manakala Pahang menduduki tempat kedua liga dengan 10 mata hasil tiga kemenangan, satu seri dan satu kalah.

Sumber-sinar harian online 24 FEBRUARI 2017

Melaka rampas takhta

ARKIB : 01/07/2000
MELAKA kembali merampas kedudukan tangga teratas liga bola sepak Perdana Dua apabila menewaskan pendahulu liga, Kedah 1-0 di Stadium Kubu, Melaka, semalam.

Jaringan tunggal K. Rajan seawal minit kelima permainan sekali gus mengulangi episod kekalahan Kedah 1-2 kepada Melaka sebelum ini.

Di Stadium Sultan Mohamed Ke-IV, Kota Bharu, JKR Kelantan sekadar mencatat keputusan seri 1-1 dengan NS Chempaka, sekali gus terlepas peluang untuk memintas Melaka.

NS Chempaka mendahului seawal minit ke-17 menerusi Abdullah Sani Yusof, tetapi Hashim Mustafa berjaya menyamakan kedudukan, lima minit kemudian.

Di Stadium Pasir Gudang, Johor Bahru, tuan rumah Johor FC mengutip tiga mata penuh selepas mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Tentera.

Jaringan penyerang, Harun Laban pada minit ke-89 menyelamatkan Johor FC daripada menanggung aib di gelanggang sendiri.

Sementara itu, di Stadium KLFA, Cheras, Telekom Melaka mengalahkan Malay Mail Kuala Lumpur 3-1 menerusi jaringan G. Rameswaran (14, 66) dengan gol ketiga melalui Tamil Selvam pada minit ke-76.

Gol tunggal Malay Mail Kuala Lumpur pula disumbatkan oleh M. Subramaniam pada minit ke-86.
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0701&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_10.htm#ixzz4ZaxozOQk

© Utusan Melayu (M) Bhd

Khamis, 16 Februari 2017

Puas benam PKNS

 
PEMAIN Melaka raikan kemenangan.
Melaka: Benteng pertahanan Melaka United Mohd Faizal Muhamad puas dapat membantu pasukannya mengecewakan PKNS FC pada pusingan kedua Piala FA di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput, kelmarin.

Baginya, peluang diberikan jurulatih Eric Williams untuk membarisi posisi pertahanan tengah, digunakan sebaik mungkin untuk mengekang pelawat hasil gandingan bersama import Ghana Godwin Antwi.

Faizal mengaku PKNS memiliki barisan serangan berbisa yang menampilkan bekas pemain Johor Darul Ta’zim (Johor DT) Safee Sali, Nazrin Syamsulbahari, Lucas Espindola dan Patrick Ronaldinho namun mereka tetap berjaya mengecewakan kuartet pelawat.


“Kami mendapat sokongan baik rakan sepasukan seperti Khair Mohd Jefri Jones, G Puaneswaran, Ezrie Shafizie Sazali dan pemain tengah untuk memastikan gawang tidak bocor. Selain itu, penjaga gol Mohd Fazli Paat juga bertindak cemerlang.

“Apa yang diharapkan selepas ini, semua pemain mampu mengekalkan rentak sama pada aksi berdepan Sarawak di Kuching, Sabtu ini. Kemenangan itu memberi suntikan motivasi tinggi buat kami,” katanya.

Menurutnya, bukan mudah untuk menundukkan Sarawak apatah lagi lawan juga dibarisi pemain mantap selain faktor gelanggang yang memihak kepada tuan rumah.

Bekas kapten PDRM 2016 yang pernah bersama Terengganu pada musim 2011-2013 serta T-Team 2014-2015 itu juga yakin skuad Hang Tuah mampu berada dalam kelompok enam teratas musim ini.

Sumber-Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Februari 2017 @ 9:25 AM

Rabu, 15 Februari 2017

Melaka United tundukkan PKNS FC 1-0

M JEFFRI RAZALI
14 FEBRUARI 2017
 Melaka United tundukkan PKNS FC 1-0
Melaka United tundukkan PKNS FC 1-0 Mohd Faizal Muhamad (kanan) cuba menghalang pergerakan Lucas Sebastian Espindola. - Foto Mohd Noordin Shariff
MELAKA United mara ke pusingan ketiga saingan Piala FA selepas menundukkan PKNS FC 1-0 dalam saingan pusingan kedua piala berkenaan di Stadium Hang Jebat malam ini.

Turun berbekalkan kekalahan kepada T-Team Sabtu lalu ternyata Melaka United nampak lebih banyak menyerang pada minit-minit awal permainan.

Melaka United hampir memperoleh gol hadiah pada minit ketujuh apabila hantaran ke belakang Gonzalo Manuel Soto akibat diasak Ilija Spasojevic hanya sipi di kiri gol PKNS FC walaupun penjaga gol Muhammad Zamir Selamat sudah tertewas.

Gandingan Amri Yahyah dan Spasojevic di bahagian hadapan nyata beberapa kali berjaya mengucar-kacirkan pertahanan PKNS FC.

Pada minit ke-21, kuisan Amri yang gagal dijangkau Muhammad Zamir berjaya mencecah jaring PKNS FC. Bagaimanapun, gol tersebut dibatalkan kerana ofsaid.

Pada minit ke-28, Melaka United sekali lagi dinafikan peluang untuk memecahkan kebuntuan apabila sepakan deras Muhammad Khairu Azrin Khazali dari jarak 30 meter di luar kotak penalti hanya mengegarkan palang gol.

Walaupun banyak bertahan dalam separuh masa pertama, PKNS FC beroleh peluang terbaik pada minit ke-40.

Safee Sali yang menerima hantaran Lucas Sebastian Espindola berjaya menewaskan keseluruhan pertahanan Melaka United sebelum percubaannya ke arah gol diselamatkan penjaga gol Mohd Fazli Paat menggunakan kaki kanannya.

Separuh masa kedua menyaksikan Melaka United terus mengandakan asakan di mana pada minit ke-55 pintu gol PKNS sekali lagi terselamat apabila percubaan Jeon Woo Young terkena tiang walaupun penjaga gol PKNS FC sudah tertewas.

Gol PKNS akhirnya bolos pada minit ke-65 apabila Amri yang menerima bola dari Spasojevic dengan tenang mendada bola sebelum melepaskan sepakan untuk menewaskan Muhammad Zamir.

PKNS FC yang seolah-olah kehilangan punca apabila beberapa percubaan mereka ke gawang Melaka United berjaya dipatahkan barisan pertahanan yang dikemudi Godwin Antwi.

Walaupun minit-minit akhir perlawanan menyaksikan PKNS FC melancarkan serangan bertubi-tubi namun ini tidak memadai untuk mereka menghalang Melaka United mencatat kemenangan tipis sekaligus mara ke pusingan seterusnya.

Sumber-SINAR HARIAN ONLINE 14 FEBRUARI 2017

Jumaat, 3 Februari 2017

Melaka United nampak kelebihan saingan malam esok

M JEFFRI RAZALI
3 FEBRUARI 2017 
Melaka United nampak kelebihan saingan malam esok Pemain Melaka United sedang menjalani latihan di Stadium Hang Tuah sebagai persiapan berhadapan The Bos Gaurus.
PERTEMUAN Melaka United dengan Perak di Stadium Ipoh malam esok (Sabtu) tanpa  kehadiran penyokong kedua pasukan dilihat akan memberi sedikit kelebihan kepada  skuad Hang Tuah.

Ini ekoran keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang mengarahkan perlawanan dilangsungkan tanpa penyokong akibat kekecohan yang ditimbulkan penyokong The Bos Gaurus semasa satu perlawanan Liga Super musim lalu.

Pengurus Melaka United, Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, ketiadaan penonton akan membolehkan pemain skuad Hang Tuah beraksi tanpa sebarang tekanan,  terutama dari penyokong fanatik Perak.

Meskipun mengakui keadaan ini juga akan menyebabkan Melaka United tidak  mendapat sokongan ratusan peminat yang sebelum ini dijangka akan berkunjung ke  Ipoh, namun beliau percaya anak buah Eric Williams akan berjaya mempamerkan  persembahan yang lebih kemas.

"Ini merupakan peluang terbaik kita untuk bermain tanpa tekanan dan mengatasi Perak untuk membawa pulang tiga mata penuh.

"Walaupun tanpa tekanan saya mahu pemain memberikan tumpuan dan  meneruskan momentum mereka selepas berjaya mengikat Selangor 1-1 minggu lalu," katanya.

Sementara itu, walaupun sependapat bahawa bermain tanpa penyokong akan mengurangkan tekanan kepada pemain, Williams berkata, bukanlah  suatu tugas mudah untuk menundukkan The Bos Gaurus.

Sambil mengakui Perak merupakan lawan sukar, beliau turut mengganggap The  Bos Gaurus sebagai antara pasukan pilihan yang bakal menyerlah pada saingan Liga  Super musim ini.

Sumber-SINAR HARIAN ONLINE 3 FEBRUARI 2017