Isnin, 24 April 2017

Melaka buat kejutan

ARKIB : 08/07/2004
PERSAINGAN bola sepak Liga Perdana semalam menyaksikan beberapa keputusan mengejut tercipta apabila pasukan-pasukan bawahan memberikan saingan sengit kepada lawan mereka yang menguasai tangga teratas.
Di Stadium JCorp, Pasir Gudang, Johor FC yang menerajui Kumpulan A sekadar seri 1-1 dengan pasukan di tangga kelapan, Polis.
Dan, Selangor mengambil kesempatan itu untuk merampas tangga teratas Kumpulan A apabila menumpaskan Brunei 5-2 di Stadium Shah Alam.
Peneraju Kumpulan B, MPPJ turut dipaksa berkongsi mata selepas seri 1-1 dengan Kelantan di Stadium Sultan Mohamed IV, Kota Bharu.
Pertemuan lain dalam Kumpulan A menyaksikan PKNS Selangor dipaksa bekerja keras di Stadium Petaling Jaya, Kelana Jaya sebelum mencatat kemenangan tipis 3-2 ke atas pasukan di tangga tercorot, JPS Kelantan - terima kasih kepada jaringan Lubovic Dekany pada minit ke-79.
TNB Kelantan bagaimanapun mencipta kemenangan selesa apabila menumpaskan Tentera 3-1 di Stadium UiTM, Shah Alam tetapi kekal di tangga kelima.
Dalam Kumpulan B, pesaing terdekat MPPJ, MK Land Selangor dikejutkan oleh pasukan di tangga ketujuh, Melaka apabila kalah 2-1 di Stadium Hang Tuah, Melaka.
Keputusan itu menyebabkan mereka semakin jauh ketinggalan dari segi pungutan mata kepada MPPJ. MK Land kini mengumpul 29 mata, tujuh mata di belakang MPPJ.
Di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, Negeri Sembilan menewaskan Johor 2-1.
Pasukan pelawat mengejutkan tuan rumah dengan gol seawal minit ke-26 yang dihasilkan oleh penyerang Afandi Zamzam.
Bagaimanapun Shahrin Majid menyamakan kedudukan pada minit ke-34.
Negeri Sembilan bermain lebih tersusun pada babak kedua dan skuad bimbingan jurulatih K.Devan tidak menunggu lama apabila Shahrin sekali lagi mencipta jaringan untuk gol kemenangan pada minit ke-54.
Sementara itu, SKMK Kelantan menumpaskan Terengganu 1-0 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu hasil jaringan Raja Maluki Raja Ayub pada minit ke-76 dalam perlawanan yang menyaksikan kedua-dua pasukan menamatkan perlawanan dengan 10 pemain.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan