Selasa, 25 April 2017

Telekom Melaka ke Liga Super

ARKIB : 09/08/2004
TELEKOM Melaka mengesahkan tempat ke Liga Super musim depan selepas mencatat kemenangan penting 2-1 ke atas TNB Kelantan pada perlawanan terakhir Kumpulan A bola sepak Liga Perdana di Stadium Nasional, Bukit Jalil, semalam.
Telekom Melaka meraih gelaran juara kumpulan sekali gus menafikan hasrat pasukan saingan, Selangor yang turut menang ke atas Tentera di Shah Alam.
Telekom Melaka mengumpul keseluruhan 52 mata selepas 24 perlawanan, kelebihan dua mata di depan Selangor di tempat kedua.
Tengku Hasbullah Raja Hassan muncul wira Telekom Melaka apabila menjaringkan kedua-dua gol berharga itu pada minit ke-49 dan 59 manakala gol TNB Kelantan dihasilkan oleh Matthew Omen Ogor minit ke-75.
Di Stadium Shah Alam, Selangor menang 2-1 ke atas Tentera dengan gol pasukan tuan rumah dijaringkan oleh Brian Fuentes pada minit ke-13 dan Mohd. Irme Mat ke-40.
Gol Tentera pula dijaringkan oleh Jonathan Yamoah minit ke-50.
Di Stadium Petaling Jaya, PKNS Selangor tewas 1-0 kepada Polis menerusi jaringan awal David Anas pada minit ke-15.
Di Stadium Sultan Mohamed IV, Kota Bharu, pasukan tercorot kumpulan, JPS Kelantan tewas kepada Brunei 2-0 menerusi jaringan Fadlin Jelawat (75) dan Silas Liberato da Silva (83).
Dalam aksi Kumpulan B, MPPJ Selangor yang telah mengesahkan tempat ke Liga Super tewas 1-0 kepada pasukan tangga kedua, MK Land di Stadium Selayang.
Gol tunggal perlawanan itu dijaringkan oleh Marin Mikac lima minit sebelum wisel penamat untuk MK Land menamatkan liga di tempat kedua.
Di Stadium KLFA, Cheras, Kuala Lumpur berpesta gol, membelasah Kelantan 6-0.
Marcelo Padilha Da Rocha menjadi wira Kuala Lumpur apabila menjaringkan lima gol (24, 36, 84, 88, 89).
Satu lagi gol tuan rumah dijaringkan oleh Mohd. Ivan Mohd Yusoff (66).
Di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, pasukan tuan rumah, Negeri Sembilan tewas 3-1 kepada Terengganu.
Gol-gol Terengganu dijaringkan oleh Chanda Bwalya (27), Tengku Alias Tengku Ibrahim (34) dan Dos Santos (68) manakala gol tunggal Negeri Sembilan dihasilkan oleh Ching Hong Aik (37).
Di Stadium Hang Tuah, Melaka seri 2-2 dengan Johor.
Gol tuan rumah dijaringkan oleh Sunday Audu (16) dan Mohd. Arif Adillah Nordin (23) dan gol Johor dihasilkan oleh Nikolce Bosevski (54, 82).

Isnin, 24 April 2017

Melaka buat kejutan

ARKIB : 08/07/2004
PERSAINGAN bola sepak Liga Perdana semalam menyaksikan beberapa keputusan mengejut tercipta apabila pasukan-pasukan bawahan memberikan saingan sengit kepada lawan mereka yang menguasai tangga teratas.
Di Stadium JCorp, Pasir Gudang, Johor FC yang menerajui Kumpulan A sekadar seri 1-1 dengan pasukan di tangga kelapan, Polis.
Dan, Selangor mengambil kesempatan itu untuk merampas tangga teratas Kumpulan A apabila menumpaskan Brunei 5-2 di Stadium Shah Alam.
Peneraju Kumpulan B, MPPJ turut dipaksa berkongsi mata selepas seri 1-1 dengan Kelantan di Stadium Sultan Mohamed IV, Kota Bharu.
Pertemuan lain dalam Kumpulan A menyaksikan PKNS Selangor dipaksa bekerja keras di Stadium Petaling Jaya, Kelana Jaya sebelum mencatat kemenangan tipis 3-2 ke atas pasukan di tangga tercorot, JPS Kelantan - terima kasih kepada jaringan Lubovic Dekany pada minit ke-79.
TNB Kelantan bagaimanapun mencipta kemenangan selesa apabila menumpaskan Tentera 3-1 di Stadium UiTM, Shah Alam tetapi kekal di tangga kelima.
Dalam Kumpulan B, pesaing terdekat MPPJ, MK Land Selangor dikejutkan oleh pasukan di tangga ketujuh, Melaka apabila kalah 2-1 di Stadium Hang Tuah, Melaka.
Keputusan itu menyebabkan mereka semakin jauh ketinggalan dari segi pungutan mata kepada MPPJ. MK Land kini mengumpul 29 mata, tujuh mata di belakang MPPJ.
Di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, Negeri Sembilan menewaskan Johor 2-1.
Pasukan pelawat mengejutkan tuan rumah dengan gol seawal minit ke-26 yang dihasilkan oleh penyerang Afandi Zamzam.
Bagaimanapun Shahrin Majid menyamakan kedudukan pada minit ke-34.
Negeri Sembilan bermain lebih tersusun pada babak kedua dan skuad bimbingan jurulatih K.Devan tidak menunggu lama apabila Shahrin sekali lagi mencipta jaringan untuk gol kemenangan pada minit ke-54.
Sementara itu, SKMK Kelantan menumpaskan Terengganu 1-0 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu hasil jaringan Raja Maluki Raja Ayub pada minit ke-76 dalam perlawanan yang menyaksikan kedua-dua pasukan menamatkan perlawanan dengan 10 pemain.

Selasa, 4 April 2017

MU lepaskan Amri ke Selangor

Selasa, 4 April 2017 @ 8:40 PM
Oleh Nazri Abu Bakar bhsukan@bh.com.my
 
Amri Yahya. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber MELAKA: Melaka United (MU) mengambil keputusan luar jangkaan apabila bakal melepaskan penyerang kebangsaan Amri Yahyah kembali ke pasukan asalnya Selangor, menjelang jendela perpindahan pemain musim ini.

      Pengurus pasukan MU, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi berkata, walaupun berat membuat keputusan itu, dia bersedia memberi laluan kepada Amri untuk kembali berbakti bersama The Red Giants.

       Menurutnya, penghijrahan pemain yang mesra digelar Wak Am itu adalah perencanaan tersendiri skuad Hang Tuah bagi mengharungi baki saingan Liga Super, walaupun mengakui bakal kehilangan penyerang termahal skuad terbabit.

      Katanya, perbincangan lanjut sedang diatur bersama Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) Datuk Seri Subahan Kamal berkaitan perpindahan berkenaan. "Peratusan Amri kembali ke Selangor amat tinggi, walaupun dia banyak menyumbang kepada kekuatan MU termasuk membantu kemenangan ke atas Sarawak dan Kelantan di pentas liga dan mengecewakan PKNS dalam saingan kedua Piala FA.

    "Apapun kami juga memiliki strategi selepas ketiadaannya terutama dalam memastikan penggantinya nanti lebih berwibawa, jika tidak pasti kami tidak melepaskan Amri," katanya di Melaka, hari ini.

      Sebelum ini, MU membuktikan keazaman mereka mengharungi musim baharu Liga Super 2017 dengan mendapatkan khidmat kapten skuad kebangsaan itu yang diikat selama semusim. Amri yang tamat kontrak bersama Johor Darul Ta'zim (JDT) sebelum ini, pernah mengakui tawaran diberikan Melaka United sukar ditolak meskipun pilihan utamanya selepas JDT adalah negeri kelahirannya, Selangor.

      Penyerang itu tetap memberikan yang terbaik setiap kali diturunkan, walaupun Melaka United kini berada di zon penyingkiran ke Liga Perdana 2018. Amri pernah menjulang Piala AFC, tiga kejuaraan Liga Super berturut-turut dan Piala FA bersama JDT, serta dua trofi Piala Malaysia, dua kejuaraan Liga Super serta tiga Piala FA sepanjang 12 tahun bersama Selangor

Sumber-Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/267996