'Ganjaran bermakna buat kami semua'
PEMAIN MU meraikan kejayaan raih gelaran Liga Perdana.
Melaka: Jurulatih Melaka United (MU) Mat Zan Mat Aris
berterima kasih atas insentif kepada pemain dan jurulatih yang ditawarkan
peluang menunaikan umrah dan melawat gelanggang Manchester United, Old Trafford
selepas muncul juara Liga Perdana dan layak ke Liga Super musim depan.
Menurutnya, ganjaran itu amat bermakna buat skuad
berkenaan dan berterima kasih kepada penaja serta berharap ia mampu menyuntik
semangat lebih positif buat pemain beraksi penuh komited.
Katanya, sebagai pemain profesional beliau mengharapkan
insentif itu sebagai satu motivasi penting kepada mereka untuk bertindak lebih
cemerlang dalam kerjaya bola sepak masing masing.
Mat Zan berkata, sebenarnya pemain dan jurulatih tidak
pernah mengharapkan ganjaran atau imbuhan besar berikutan fokus terarah untuk
melakar kejayaan gemilang bersama skuad itu.
“Alhamdulillah hasil perjuangan semua pihak termasuk
sokongan peminat menyemarakkan sentuhan terbaik pemain untuk menyerlah dan
akhirnya kami mampu mengesahkan kejuaraan lebih awal walaupun masih berbaki dua
perlawanan.
“Kami membentuk pasukan ini sebagai sebuah keluarga dan
hubungan erat ini nyata menjadi pemangkin kejayaan. Hubungan mesra dalam dan
luar padang amat penting untuk saya membentuk perancangan terbaik bagi memastikan
keputusan positif,” katanya.
Beliau yakin dua perlawanan terakhir berdepan PKNS dan
Sime Darby mampu menambah enam mata maksimum sekali gus melebarkan rekod
kemenangan buat pasukan Hang Tuah.
Melaka United sebelum ini hanya tewas sekali di tangan
Perlis pada aksi pusingan pertama di Kangar dan selebihnya memenangi 15
perlawanan dan seri empat kali sepanjang 20 saingan liga setakat ini.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 September
2016 @ 6:00 AM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan