WARTAWAN SINAR HARIAN
12 OGOS 2016
Melaka United baham Negeri Sembilan
MELAKA United menghidupkan
kembali sisa-sisa peluang untuk layak ke pusingan seterusnya dalam saingan
Piala Malaysia dengan menundukkan Negeri Sembilan 2-0 di Stadium Hang Jebat
malam ini.
Kalah dalam tiga perlawanan
Piala Malaysia sebelum ini, iaitu dua menentang Felda United dan satu dengan
Negeri Sembilan, skuad bimbingan Mat Zan Mat Aris ini perlu mencatat kemenangan
untuk menghidupkan kembali harapan layak ke pusingan seterusnya.
Dengan kemenangan ini, Melaka
United kini berkongsi sembilan mata dengan Negeri Sembilan dan dipisahkan hanya
dengan jumlah perbezaan gol.
Melaka United hanya mengambil
masa tujuh minit dari wisel permulaan untuk mendahului pelawat apabila
penyerang sensasi mereka, Ilija Spasojevic, meletakkan skuad Hang Tuah satu gol
di hadapan.
Pemain kelahiran Montenegro itu
sekali lagi membuktikan mengapa beliau kini dianggap sebagai antara pemain
terbaik Liga Malaysia apabila sekali lagi berjaya membolosi gawang Negeri
Sembilan pada minit ke-31.
Separuh masa kedua menyaksikan
Negeri Sembilan melancarkan beberapa serangan berbahaya ke arah gawang Melaka
United dalam usaha merapatkan jurang gol.
Bagaimanapun, pertahanan tuan
rumah yang diketuai pemain tinggi lampai Khair Mohd Jefri Jones berjaya
mematahkan serangan pelawat.
Melaka United terpaksa berpuas
hati dengan hanya dua gol walaupun turut mempunyai beberapa peluang untuk
menambah jaringan tetapi tidak digunakan sepenuhnya.
Ekoran kemenangan ini, Melaka
United kini perlu menang perlawanan terakhir dalam kumpulan D menentang Terengganu
di Kuala Terengganu minggu hadapan dan pada masa sama, mengharapkan Felda
United menumpaskan Negeri Sembilan bagi membolehkan skuad Hang Tuah mara ke
suku akhir Piala Malaysia.
Spasojevic diasak Taylor France
ketika pertemuan Melaka United dengan Negeri Sembilan malam tadi.
SUMBER-SINAR HARIAN ONLINE
12.8.2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan