Khamis, 25 Februari 2021

MUSA terima tajaan RM2.5juta

MyMetroArena



Nazri Abu Bakar

Melaka: Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA) lega menerima tajaan RM2.5juta daripada Edra Power Holdings Sdn Bhd bagi projek pembangunan persatuan dan anak syarikatnya Kelab Bolasepak Melaka United FC (MUFC).

Setiausaha Agung Musa, Ahmad Roslee Hamzah berkata, bagaimanapun tajaan berkenaan bukan untuk bayaran gaji pemain atau pegawai kerana ia juga bukan dalam bentuk tunai.

Menurutnya, sebaliknya ia akan digunakan untuk kemudahan infrastruktur MUSA MUFC sekali gus menyediakan fasiliti sukan termasuk menaik taraf padang latihan bagi program pembangunan bola sepak akar umbi.

Katanya, sebanyak RM600,000 hingga RM700,000 juga diperuntukkan bagi membina bangunan baharu untuk MUFC yang terletak di sebelah pejabat MUSA di Komplek Sukan Paya Rumput.

"Ianya menempatkan bilik mesyuarat , ruang perbincangan, gimnasium khas pemain dan bilik pegawai eksekutif MUFC.

"Pembinaan bakal dilakukan tidak lama lagi dengan beberapa prosedur penting diperhalusi sebelum ia diiklankan kelak," katanya.

Sehubungan itu, dia ,mengharapkan lebih banyak syarikat yang akan menaja MUSA dalam mengendali persatuan berkenaan termasuk skuad Liga Super MUFC.

Sementara itu, dia yakin skuad MUFC bakal menterjemah persembahan terbaiknya pada aksi pembukaan Liga Super berdepan Pahang di Stadium Hang Jebat 6 Mac depan.

Katanya, persiapan rapi pasukan bimbingan Zainal Abidin Hassan dengan imej baharu berkenaan bakal menerbitkan motivasi tinggi pemain untuk mencapai misi kejayaan gemilang musim ini.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Februari 2021 @ 7:39 PM

Rabu, 24 Februari 2021

Melaka laksanakan perbelanjaan berhemah


MyMetroArena



Nazri Abu Bakar

am@hmetro.com.my

Melaka: Persatuan Bolasepak Melaka United (Musa) akan terus mengamalkan perbelanjaan berhemah sepanjang musim ini termasuk aspek pengurusan dan pengendalian pasukan remaja dan program pembangunan.

Setiausaha Agung Musa, Ir Ahmad Roslee Hamzah berkata, bajet bagi pasukan piala presiden, belia dan bawah 17 tahun bakal lebih rendah berbanding musim lalu dalam usaha memastikan pasukan tidak menghadapi masalah terhadap sebarang bayaran gaji pemain dan pegawai.

Katanya, pihak kami akan membuat tawaran gaji yang setimpal kepada pemain dan pegawai pasukan terbabit bagi membolehkan persatuan mampu menampung kos mengikut bajet kerana enggan melalui peristiwa sama saban tahun menghadapi isu tunggakan gaji.

"Justeru pengorbanan terpaksa dilakukan oleh kakitangan Musa, pengurusan pasukan dan pemain dalam merangka strategi berhemah ini namun dalam masa sama tetap mengambil kira kebajikan semua yang terbabit.

"Boleh saya katanya, kami perlu `mengikat perut' dalam usaha melangsaikan hutang lama persatuan yang perlu diselesaikan mengikut perancangan," katanya.

Menurutnya, sedikit melegakan tunggakan gaji untuk skuad utama Liga Super berjaya diselesaikan dan fokus kewangan memastikan pasukan Melaka United (MU) tidak menghadapi masalah gaji seperti sebelum ini akan dititik beratkan.

Beliau berkata, sebaik dilantik beberapa bulan lalu, dia kini sedang menstruktur semula pentadbiran Musa dalam memastikan tidak berlaku ketirisan dalam pengurusan.

Baginya, ia amat penting kerana kecekapan pentadbiran perlu berada dalam situasi terbaik dan tiada agenda kepentingan peribadi sebagai keutamaan mana-mana individu dalam Musa yang boleh merosakkan imej persatuan.

Justeru, ketelusan menjadi agenda utama untuk dia memastikan misinya memastikan hutang-hutang lapuk Musa tidak terus menghantui pengendalian pentadbiran yang berpanjangan.

Rosli berkata, Petunjuk Prestasi Utama (KPI) untuk memastikan pasukan utama tidak dipotong mata dan lesen dikekalkan menjadi matlamat dan misinya untuk melihat Melaka terus maju dan tidak menghadapi masalah dalaman yang bakal berdepan hukuman Liga Bolasepak Malaysia (MFL).SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Februari 2021 @ 5:56 PM