Jumaat, 29 Julai 2016

KEPUTUSAN MASA PERTAMA

OLEH-AHMAD BIN YAAKOB
Kedah 0 : 0     Johor Darul Ta'zim II
Sarawak          0 : 2     T-Team

Melaka United            0 : 0     Felda United

Rabu, 27 Julai 2016

Melaka sudah ada pemain

ARKIB : 27/02/1998
MESKIPUN persiapan pasukan Liga Perdana Melaka terganggu dengan langkah pengswastaannya, pasukan itu akhirnya memiliki barisan pemainnya sendiri apabila 19 pemain menandatangani kontrak dengan Persatuan Bola Sepak Melaka (MAFA), semalam, AMIRUDDIN HARUN melaporkan.

Sebanyak 16 pemain tempatan dan tiga pemain import - dua dari Nigeria dan satu dari Cameroon menandatangani kontrak dengan MAFA pada majlis ringkas di pejabat persatuan itu petang semalam.

Pemain tempatan yang bakal menyarung jersi pasukan Melaka ialah A. Zainal Rabin, Rajkumar, Sazali Abdul Wahid, Ong Kim Swee, K. Ravisandran, Leong Hong Seng, S. Balan dan Mohamed Faisal Mohd. Isa.

Turut terpilih mewakili pasukan Sang Kancil musim ini ialah Azni Ariffin, Azrin Shah Zainal, Md. Nor Sheikh Ibrahim, Paul Raj, Hilmi Hassan Farouke, Ridzuan Abu Shah, dan Arfandy Lokman.

Pemain import yang menandatangani kontrak pula ialah dua bekas pemain Terengganu, Edwards Dipreye dan John Onwudegwu, kedua-duanya berasal dari Nigeria serta Belle Belle Yves dari Cameroon.

Senarai pemain musim ini juga menyaksikan empat pemain Liga Perdana Melaka musim lalu, iaitu Leong Hong Seng, K. Ravichandran, S. Balan dan Hilmi Hassan Farouke kekal dengan pasukan Melaka.

Timbalan Presiden MAFA, Abdul Aziz Majid pada sidang akhbar selepas majlis itu berkata, walaupun barisan pemain lewat dikemukakan tetapi mereka telahpun digandingkan dalam latihan sebelum ini.

''Mereka sudah berlatih bersama-sama di bawah jurulatih G. Torairaju dan kini giat mengadakan perlawanan persahabatan dengan beberapa pasukan sebelum beraksi dalam Liga Malaysia,'' katanya.

Beliau berkata, dalam keadaan ekonomi yang meleset, gaji yang ditawarkan kepada pemain adalah tidak terlalu tinggi iaitu antara RM1,800 hingga RM4,000 dan kedudukan ini turut difahami oleh pemain sendiri.

Bagaimanapun, MAFA berjanji untuk menambah elaun sebanyak 10 peratus sekiranya pasukan itu naik ke bahagian satu.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0227&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_07.htm#ixzz4FbnQVNoN © Utusan Melayu (M) Bhd

Isnin, 25 Julai 2016

Empat pemain sahaja sedia wakili Melaka

ARKIB : 20/01/1998
SKUAD Liga Perdana Melaka yang bercadang mengekalkan tujuh pemain musim lalu nampaknya terpaksa berpuas hati apabila hanya empat pemain yang bersetuju bersama pasukan itu mengharungi ranjau Liga Perdana musim depan.

Ini berikutan pemain tambatan Melaka, Abdul Halim Jantan telah menandatangani kontrak dengan pasukan Negeri Sembilan baru-baru ini manakala Md. Noor Derus pula akan mewakili pasukan Terengganu.

Penjaga gol Melaka musim lalu, Mohd. Hamsani Ahmad yang peringkat awal bersetuju bermain untuk pasukan Melaka bagaimanapun membatalkan hasratnya itu.

Ini kerana dia telah pun menghantar surat pembatalan perjanjian untuk mewakili skuad Sang Kancil musim depan kepada Persatuan Bola Sepak Melaka (MAFA) pada 9 Januari lalu.

Ketiadaan ketiga-tiga pemain itu bermakna hanya empat pemain musim lalu, iaitu K. Ravichandran, Leong Hong Seng, Hilmi Hassan Farouk dan S. Balan yang akan kekal menyarung jersi Melaka tahun ini.

Md. Noor bersama seorang lagi pemain musim lalu, Azlan Meri yang juga ditawarkan untuk mewakili Melaka musim ini bagaimanapun sehingga kini tidak membalas surat tawaran yang dikemukakan oleh MAFA.

Presiden MAFA, Datuk Mohamed Jais, berkata, bagi mengisi kekosongan pemain, syarikat yang menguruskan pasukan Liga Perdana Melaka musim ini, Flashtasia Sdn. Bhd. dijangka membuat pemilihan pemain pada Selasa ini di Stadium Kubu, dekat sini.

Namun begitu, Mohamed turut meminta bakal pengurus dan jurulatih pasukan musim depan, Soh Chin Aun dan G. Torairaju, untuk menghubungi pemain-pemain yang berminat mewakili Melaka.

''Ini bertujuan memantapkan lagi permainan pasukan Sang Kancil pada musim depan dan seterusnya memberikan harapan baru kepada pasukan ini,'' katanya ketika dihubungi di Melaka, semalam.

Seminggu lalu, Mohamed menyatakan Melaka akan cuba mengekalkan tujuh pemain musim lalu serta memenuhi kuota tiga pemain import musim depan.

Katanya, beberapa pemain dari negeri lain turut mencuba nasib dengan pasukan tersebut dalam proses melengkapkan pemain pasukan Melaka.

Mengenai terlepasnya Abdul Halim dari genggaman Melaka, katanya, Abdul Halim bersama G. Torairaju ada menjumpainya sehari selepas menandatangani kontrak dengan skuad Negeri Sembilan bagi menjelaskan perkara tersebut.

Mohamed berkata, Abdul Halim memberitahunya dia bersetuju bermain dengan negeri jiran itu setelah dia tidak menerima sebarang surat tawaran Melaka.

Pada Liga Perdana musim hadapan, Melaka terpaksa bermain pada perlawanan play-off untuk melayakkan diri ke Liga Perdana Satu.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0120&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4FQP3zvzw © Utusan Melayu (M) Bhd

Sabtu, 23 Julai 2016

Melaka kekal 7 pemain lalu


 

ARKIB : 11/01/1998

MOHAMAD JAIS.

SKUAD Liga Perdana Melaka yang terpaksa bermain pada perlawanan play-off untuk melayakkan diri ke Liga Perdana Satu musim depan, mengekalkan tujuh pemain musim lalu serta akan memenuhi kuota tiga pemain import untuk mengharungi kancah liga musim depan.

Menurut Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka (Mafa), Datuk Mohamad Jais, pasukan tersebut akan cuba memenuhi tiga kuota pemain import bagi memperkuatkan barisan pemain yang dikekalkan musim depan, jika kewangan mencukupi.

''Berdasarkan perjanjian persefahaman (MoU) antara Mafa dengan sebuah syarikat swasta, kita berharap mereka boleh menaja pasukan ini untuk mendapatkan tenaga import yang diperlukan.

''Kita akan cuba menggunakan tiga tenaga import untuk memantapkan pasukan yang dibarisi oleh kebanyakannya pemain musim lalu,'' katanya ketika dihubungi, di Melaka, semalam.

Walau bagaimanapun, Mohamad enggan mendedahkan nama pemain-pemain musim lalu yang dikekalkan bagi mengelakkan rasa 'besar diri' di kalangan mereka yang dikekalkan serta rasa kecewa di kalangan pemain yang terpaksa digugurkan.

Skuad Melaka musim depan akan dikendalikan oleh sebuah syarikat swasta iaitu, Flashtasia Sdn. Bhd., yang akan bertanggungjawab mengurus perjalanan skuad berkenaan.

Sementara itu, menurut Mohamad, skuad Melaka yang diterajui oleh bekas pemain kebangsaan, Soh Chin Aun selaku pengurus, bersama-sama dengan Tajuddin Nor, serta G. Torairaju sebagai jurulatih masih melakukan pemilihan pemain untuk melengkapkan senarai akhir, sebelum sepak mula dilakukan, Mac ini.

Katanya, sejak 15 Disember lalu, Chin Aun dan Torairaju telah mengendalikan pemilihan pemain di padang Dusun Datuk Murad, Ayer Keroh, namun kerana masalah padang yang teruk, pemilihan seterusnya akan dilakukan semasa ujian perlawanan persahabatan dengan beberapa pasukan.

''Kita akan meneruskan pemilihan pemain semasa perlawanan persahabatan nanti sebelum skuad ini diserahkan kepada syarikat berkenaan yang akan mengendalikan satu lagi pemilihan pada 12 Januari ini di Stadium Kubu,'' katanya.

Katanya, semasa proses pemilihan tersebut dijalankan, beberapa pemain dari negeri lain turut mencuba nasib dengan pasukan tersebut, tetapi masih dipertimbangkan.

''Memang ada pemain dari negeri lain menjalani pemilihan dengan kita, tetapi kita masih menilai kemampuan mereka,'' tambahnya yang enggan mendedahkan nama-nama pemain tersebut.

Mengenai tenaga import, Mohamad menjelaskan, sehingga kini beberapa orang pemain dari Morocco, Pakistan dan enam pemain Ghana turut serta dalam sesi pemilihan yang dilakukan.

''Pemain Morocco dan Pakistan yang hadir tidak sesuai dengan pasukan kita, manakala pemain-pemain Ghana tersebut masih dinilai kemampuan mereka.

''Selepas ini beberapa pemain dari Iran dan Brazil juga dijangka akan menjalani pemilihan dengan skuad ini,'' katanya.

Menurutnya, seboleh-bolehnya, Melaka ingin menggunakan tiga pemain import yang dibenarkan terutama jika Melaka terpilih ke Liga Perdana Satu.

Musim lalu Melaka menggunakan tiga khidmat pemain import dari Nigeria iaitu Abubakar Sadiq, Mohamed Mohamed dan Tajudeen Usman Olaiya.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, sasaran skuad itu musim depan ialah cuba melayakkan diri ke bahagian pertama sebelum berusaha untuk melayakkan diri ke pertandingan Piala Malaysia.

''Sasaran kita ialah juara atau naib juara, kerana dengan wang kemenangan itu kelak, kita akan memantapkan lagi pasukan ini untuk tahun 1999,'' katanya.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0111&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4FEEZcAhG © Utusan Melayu (M) Bhd