Selasa, 11 Mei 2021

Kedudukan Zainal bagai 'telur di hujung tanduk'

Oleh Nazri Abu Bakar - Mei 10, 2021 @ 3:16pm

bhsukan@bh.com.my



Jurulatih pasukan Melaka United, Zainal Abidin Hassan ketika sidang media selepas aksi menentang PJ City, malam tadi. - FOTO SYAFEEQ AHMAD

MELAKA: "Saya akan terus menjalankan tugas selagi tiada apa-apa arahan," kata jurulatih Melaka United, Zainal Abidin Hassan selepas pasukannya sekadar seri tanpa jaringan menentang PJ City di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput malam tadi.Dia mengulas mengenai kedudukannya selepas pengurusan Melaka United sebelum ini mahu menilai kedudukan selepas dua perlawanan menentang PJ City dan Sabah.

Kedua-dua aksi itu menyaksikan skuad kendaliannya gagal melakar kemenangan sekali gus skuad Hang Tuah kini terperosok ke tangga kedua tercorot liga dan kedudukannya dianggap bagai telur di hujung tanduk.

Zainal bagaimanapun menegaskan dia bertanggungjawab ke atas prestasi pasukan dan sekiranya terus diberi kepercayaan, dia berjanji akan memulihkan skuad Hang Tuah.

Antara perancangannya ialah membawa masuk penyerang baharu selepas kecewa dengan jentera serangan yang tumpul untuk meledak jaringan walaupun pasukan bimbingannya menguasai saingan sepanjang 90 minit di laman sendiri menentang PJ City, malam tadi.

"Jika terus diberi peluang, perancangan saya membawa masuk beberapa pemain terutama di barisan serangan kerana ia amat penting selepas ketumpulan jentera penggempur.

"Pemain dilihat memiliki disiplin yang tinggi ketika mempertahankan kubu, mengatur gerak dan mencipta peluang sehingga lawan tidak memperoleh banyak ruang," katanya.

Menurutnya, prestasi penyerang import Alex Goncalves juga kurang berkesan sebaik kembali pulih daripada kecederaan sementara Stefan Nikolic juga kurang menjadi menyebabkan dia memasukkan Goncalves menggantikan penyerang itu.1

____________________________________

1https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2021/05/815579/kedudukan-zainal-bagai-telur-di-hujung-tanduk

Khamis, 25 Februari 2021

MUSA terima tajaan RM2.5juta

MyMetroArena



Nazri Abu Bakar

Melaka: Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA) lega menerima tajaan RM2.5juta daripada Edra Power Holdings Sdn Bhd bagi projek pembangunan persatuan dan anak syarikatnya Kelab Bolasepak Melaka United FC (MUFC).

Setiausaha Agung Musa, Ahmad Roslee Hamzah berkata, bagaimanapun tajaan berkenaan bukan untuk bayaran gaji pemain atau pegawai kerana ia juga bukan dalam bentuk tunai.

Menurutnya, sebaliknya ia akan digunakan untuk kemudahan infrastruktur MUSA MUFC sekali gus menyediakan fasiliti sukan termasuk menaik taraf padang latihan bagi program pembangunan bola sepak akar umbi.

Katanya, sebanyak RM600,000 hingga RM700,000 juga diperuntukkan bagi membina bangunan baharu untuk MUFC yang terletak di sebelah pejabat MUSA di Komplek Sukan Paya Rumput.

"Ianya menempatkan bilik mesyuarat , ruang perbincangan, gimnasium khas pemain dan bilik pegawai eksekutif MUFC.

"Pembinaan bakal dilakukan tidak lama lagi dengan beberapa prosedur penting diperhalusi sebelum ia diiklankan kelak," katanya.

Sehubungan itu, dia ,mengharapkan lebih banyak syarikat yang akan menaja MUSA dalam mengendali persatuan berkenaan termasuk skuad Liga Super MUFC.

Sementara itu, dia yakin skuad MUFC bakal menterjemah persembahan terbaiknya pada aksi pembukaan Liga Super berdepan Pahang di Stadium Hang Jebat 6 Mac depan.

Katanya, persiapan rapi pasukan bimbingan Zainal Abidin Hassan dengan imej baharu berkenaan bakal menerbitkan motivasi tinggi pemain untuk mencapai misi kejayaan gemilang musim ini.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Februari 2021 @ 7:39 PM

Rabu, 24 Februari 2021

Melaka laksanakan perbelanjaan berhemah


MyMetroArena



Nazri Abu Bakar

am@hmetro.com.my

Melaka: Persatuan Bolasepak Melaka United (Musa) akan terus mengamalkan perbelanjaan berhemah sepanjang musim ini termasuk aspek pengurusan dan pengendalian pasukan remaja dan program pembangunan.

Setiausaha Agung Musa, Ir Ahmad Roslee Hamzah berkata, bajet bagi pasukan piala presiden, belia dan bawah 17 tahun bakal lebih rendah berbanding musim lalu dalam usaha memastikan pasukan tidak menghadapi masalah terhadap sebarang bayaran gaji pemain dan pegawai.

Katanya, pihak kami akan membuat tawaran gaji yang setimpal kepada pemain dan pegawai pasukan terbabit bagi membolehkan persatuan mampu menampung kos mengikut bajet kerana enggan melalui peristiwa sama saban tahun menghadapi isu tunggakan gaji.

"Justeru pengorbanan terpaksa dilakukan oleh kakitangan Musa, pengurusan pasukan dan pemain dalam merangka strategi berhemah ini namun dalam masa sama tetap mengambil kira kebajikan semua yang terbabit.

"Boleh saya katanya, kami perlu `mengikat perut' dalam usaha melangsaikan hutang lama persatuan yang perlu diselesaikan mengikut perancangan," katanya.

Menurutnya, sedikit melegakan tunggakan gaji untuk skuad utama Liga Super berjaya diselesaikan dan fokus kewangan memastikan pasukan Melaka United (MU) tidak menghadapi masalah gaji seperti sebelum ini akan dititik beratkan.

Beliau berkata, sebaik dilantik beberapa bulan lalu, dia kini sedang menstruktur semula pentadbiran Musa dalam memastikan tidak berlaku ketirisan dalam pengurusan.

Baginya, ia amat penting kerana kecekapan pentadbiran perlu berada dalam situasi terbaik dan tiada agenda kepentingan peribadi sebagai keutamaan mana-mana individu dalam Musa yang boleh merosakkan imej persatuan.

Justeru, ketelusan menjadi agenda utama untuk dia memastikan misinya memastikan hutang-hutang lapuk Musa tidak terus menghantui pengendalian pentadbiran yang berpanjangan.

Rosli berkata, Petunjuk Prestasi Utama (KPI) untuk memastikan pasukan utama tidak dipotong mata dan lesen dikekalkan menjadi matlamat dan misinya untuk melihat Melaka terus maju dan tidak menghadapi masalah dalaman yang bakal berdepan hukuman Liga Bolasepak Malaysia (MFL).SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Februari 2021 @ 5:56 PM

Sabtu, 9 Januari 2021

MU tunggu tiga pemain import

 Nazri Abu Bakar

sukan@hmetro.com.my



Melaka: Pasukan bola sepak Melaka United (MU) mengatur sekurang-kurangnya enam perlawanan persahabatan menjelang aksi Liga Malaysia musim ini.

Pengurus MU, Mohd Akram Abdullah berkata, justeru latihan selama empat minggu setakat ini berjalan lancar dengan fokus terarah terhadap kecergasan dan kekuatan mental pemain.

Katanya, latihan insentif membentuk kekuatan fizikal serta taktikal yang disusun ketua jurulatih, Zainal Abidin Hassan turut menekankan gabungan keserasian menghadapi perlawanan persahabatan kelak.

"Pada dasarnya kami sudah bersedia dengan barisan pemain yang disenaraikan, cuma menunggu kehadiran tiga pemain import baharu.

"Perlawanan-perlawanan persahabatan yang diatur mengambil kira kecergasan terbaik mereka pada minggu kelima latihan," katanya.

Sehubungan itu, kesemua pemain akan diberi peluang bermain dalam rangka jurulatih mengenai pasti barisan kesebelasan utama dan gantian bagi menghadapi Liga Malaysia kali ini.

Dalam pada masa sama dia juga yakin kehadiran bekas kapten Kedah, Khairul Helmi Johari di posisi pertahanan bakal memantapkan pasukan terbabit.

Menurutnya, sebagai pemain berpengalaman Khairul Helmi mampu memberi suntikan jitu bagi membantu MU mencapai kedudukan yang terbaik di Liga Malaysia 2021.

Malah, apa yang penting sentuhannya bersama Kedah selama 14 tahun bakal menjadi azimat buat pemain itu untuk berbakti kepada MU selepas turut cemerlang bersama skuad bawah 23 tahun negara dan pasukan kebangsaan.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 January 2021 @ 6:23 PM

Isnin, 21 Disember 2020

Melaka buru tiga import baharu

MyMetroArena



Nazri Abu Bakar

sukan@hmetro.com.my

Melaka: Jurulatih Melaka FC (MUFC), Zainal Abidin Hassan tidak bimbang dengan bajet yang lebih rendah daripada musim lalu dalam merangka strategi pasukan di pentas Liga Malaysia 2021.

Menurutnya, dia percaya pengurangan terbabit sama sekali tidak akan memberi kesan, sebaliknya yakin dengan peruntukan yang diberikan untuknya berupaya menyediakan kesebelasan yang dapat memberi saingan dalam aksi Liga Super musim hadapan.

Katanya, secara keseluruhan ramai pemain sedia ada akan kekal bersama pasukan selaras dengan keputusan pengurangan bajet pasukan yang diperuntukkan.

"Justeru, boleh dikatakan 70 peratus pemain dikekalkan dan kita juga turut mengenal pasti beberapa pemain baharu yang kini berada pada fasa rundingan akhir.

"Mereka termasuk bekas pemain kebangsaan dan ada juga pemain baharu yang diintai kini sedang dalam usaha menembusi skuad kebangsaan," katanya.

Beliau berkata, gabungan pemain berpengalaman dan muda antara usaha membangunkan bakat-bakat baharu berpotensi.

Sementara itu, mengulas mengenai pemain import, Zainal memaklumkan pihaknya dan pengurusan bersetuju mengekalkan dua pemain import membabitkan Jang Suk Won dan Sony Norde, dengan menambah tiga import baharu untuk memperkuatkan pasukan.

Bagaimanapun, perbincangan sedang berjalan membabitkan import berkenaan dalam masa sama yakin senarai akan dilengkapkan selewat-lewatnya pada minggu hadapan.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Disember 2020 @ 6:51 PM

Zainal tak bimbang bajet rendah MUFC

Oleh Nazri Abu Bakar - Disember 21, 2020 @ 6:19pm

sukanbh@bh.com.my



Jurulatih Melaka FC, Zainal Abidin Hassan. - Foto NSTP/Rasul Azli Samad.MELAKA: Jurulatih Melaka FC (MUFC), Zainal Abidin Hassan tidak bimbang dengan penyediaan bajet yang lebih rendah berbanding musim lalu dalam merangka strategi pasukan di pentas Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Beliau percaya pengurangan terbabit sama sekali tidak akan memberi kesan, sebaliknya yakin ia tetap berupaya menyediakan barisan kesebelasan terbaik yang dapat memberi saingan.

"Boleh dikatakan kira-kira 70 peratus pemain dikekalkan. Kita turut mengenal pasti beberapa pemain baharu yang kini berada fasa terakhir rundingan. Mereka termasuk bekas pemain kebangsaan selain pemain baharu sedang dalam usaha menembusi skuad kebangsaan.

"Gabungan pemain berpengalaman dan muda antara usaha membangunkan bakat baharu berpotensi," katanya.SUMBRR-SUKAN BH ONLINE

Sabtu, 10 Oktober 2020

MyMetroArena



Nazri Abu Bakar

am@hmetro.com.my

Melaka: Johor Darul Ta'zim (JDT) menutup saingan Liga Super menerusi aksi tanpa kalah selepas mencatat kemenangan menewaskan Melaka 5-0 di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput sebentar tadi.

Menguasai hampir keseluruhan babak pertama barisan pelawat bagaimanapun gagal memecah kebuntuan jaringan selepas Melaka kental bertahan.

Malah beberapa peluang mereka yang terhidang berjaya diselamatkan penjaga gol tuan rumah, Norazlan Razali selain tersasar.

Peluang terbaik buat JDT mencipta gol pembukaan hadir pada minit ke-19 menerusi Gonzalo Cabrera namun sepakan kencangnya berjaya ditepis keluar Norazlan.

Skuad Hang Tuah yang sesekali memasuki kawasan pelawat turut memiliki peluang menjaringkan gol namun percubaan lemah Sony Norde (m-30) berjaya diselamatkan penjaga gol Mohd Farizal Marlias.

Babak kedua menyaksikan anak buah jurulatih Benjamin Mora terus berusaha gigih memecah kubu pertahanan Melaka namun tandukan kencang Gonzalo sekali lagi berjaya diselamatkan Norazlan.

JDT yang sudah mengesahkan kejuaraan Liga Super untuk musim ketujuh berturut-turut nyata memiliki kelas tersendiri akhirnya berjaya mencipta jaringan pertama menerusi sepakan penalti Leandro Velazquez pada minit ke-70 perlawanan.

Sebelum menggandakan jaringan menerusi Shafiq Ahmad pada minit ke -75 diikuti tandukan Aidil Zafuan Abd Razak (m-78), Fernando Rodriguez (m-84) dan Leandro Velazquez m- 90 perlawanan.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Oktober 2020 @ 11:30 PM